Pengenalan kepada Funan

Funan dikenali juga dalam bahasa-bahasa purba serantau sebagai Suvarnabhumi atau Benua Keemasan. Dalam bahasa Cina ia disebut sebagai Funan. Walau bagaimanapun, nama Funan ini tidak pernah muncul dalam sebarang sastera tempatan dari zaman itu pun. Nama sebenar bagi politi ini yang digunakan oleh penduduk tempatan masihlah lagi terselindung di sebalik misteri.

Sesetengah sarjana membahaskan bahawa sarjana China purba menerbitkan pemahaman mereka dari rekod Yuan Shi iaitu rekod sejarah dinasti Yuan, "Siem Kok dan Lo Hu Kok (Lavo), yang sebelumnya adalah Kerajaan Funan, terletak ke barat Lin Yi Kok (Kerajaan Champa di Vietnam Tengah). Jarak dari ibu kota Linyi Kok ke ibu kota Funan Kok ialah kira-kira 3,000 li."

Setengah lagi sarjana pula mencadangkan bahawa Funan boleh jadi merupakan nama yang digunakan oleh penduduk tempatan sendiri dan kemungkinannya adalah sebutan bahasa Cina untuk istilah dari bahasa Khmer purba, "Bnam" yang bermaksud "Gunung". Funan umumnya dianggap sebagai kerajaan terawal diketahui wujud di Asia Tenggara. Ia terletak di barat daya negara Linyi, iaitu sebutan bahasa Cina untuk rantau bersejarah Champa, yang kini terletak di tengah dan selatan Vietnam pada hari ini.

Seperti nama kerajaannya, identiti suku kaum dan bahasa penduduknya masih lagi berada dalam perdebatan ahli akademik berkaitan bidang sejarah dan linguistik. Hipotesis utama mencadangkan bahawa rakyat di Funan ini umumnya adalah bangsa Austroasia atau Mon-Khmer, umumnya bangsa Austronesia, atau mempunyai masyarakat yang majmuk pelbagai suku kaum dan mungkin juga merupakan masyarakat yang bertutur dalam pelbagai bahasa. Bukti yang ada sekarang ini pun sebenarnya tidak mencukupi untuk merumuskan kesimpulan yang tepat.

Michael Vickery dalam "Funan reviewed: Deconstructing the Ancients," Bulletin de l'Ecole Francaise d'Extreme Orient XC-XCI (2003-2004) muka surat 101 hingga 143 membahaskan bahawa walaupun mustahil untuk mengenalpasti bahasa rasmi negara Funan dan menyimpulkannya dengan sejelas-jelasnya, namun bukti yang ada kuat sekali mencadangkan bahawa populasi di kerajaan itu majoritinya adalah bangsa Khmer. Walau bagaimanapun, beberapa penyelidikan misalnya oleh Trude Jacobsen (2016) dalam "Kingdom of Funan" yang diterbitkan dalam The Encyclopedia of Empire dan Vu Minh Giang (2022) dalam "FUNAN (Phu Nam) from a new perspective" terbitan Journal of Social Science and Humanities menunjukkan bahawa penduduk di Funan mungkin bercakap dalam bahasa dari jenis Austroasia (tidak semestinya bahasa Khmer) manakala bahasa-bahasa Malayo-Polinesia dipertuturkan di Champa yang berada di sebelahnya.

Pierre-Yves Manguin (2002) dalam "From Funan to Sriwijaya: Cultural continuities and discontinuities in the Early Historical maritime states of Southeast Asia" menyebut bahawa penemuan arkeologi di Oc Eo menunjukkan bahawa "tiada pemutus sebenar antara Oc Eo dan tahap-tahap pra-Angkor", yang mencadangkan penguasaan linguistik bahasa Khmer di kawasan-kawasan yang berada di bawah pengaruh mandala Funan.

Berdasarkan kepada catitan sejarah China, Funan dipercayai diasaskan pada abad pertama masihi di Delta Mekong. Walau bagaimanapun, penyelidikan arkeologi menunjukkan bahawa terdapat penempatan manusia yang berterusan di rantau itu yang mungkin boleh dijejaki hingga sejauh abad ke-4 SM. Ha Van Tan (1986) dalam "Oc Eo: Endogenous and Exogneous Elements" terbitan Viet Nam Social Sciences menyatakan bahawa walaupun penulis-penulis China menjelaskan bahawa Funan itu satu politi pemerintahan yang bersatu, namun sesetengah sarjana moden membahaskan bahawa ia boleh jadi juga sekelompok negara kota yang pada satu masa berperang dan pada satu masanya lagi bersatu secara politik.

Luong Ninh (2007) dalam "Funan Kingdom: A Historical Turning Point" terbitan Vietnam Archeology menyebut bahawa bukti arkeologi yang dicari gali termasuklah bahan-bahan Romawi, China dan India purba ditemui di pusat perniagaan purba Oc Eo di Vietnam selatan menunjukkan bahawa Funan pernah menjadi negara perdagangan yang ulung di rantau ini. Cari gali arkeologi di Angkor Borei di Kemboja selatan juga turut menemukan bukti penempatan penting. Hal ini kerana Oc Eo dihubungkan dengan pelabuhan pantai dan Angkor Borei melalui sistem perairan yang kemungkinannya kedua-dua lokasi ini bersama-sama membentuk ibu kota kerajaan Funan.