Agama Veda mempunyai akarnya dalam kebudayaan Indo-Iran dan agama Sintashta (2200 - 1750 SM) serta kebudayaan Andronovo (2000 - 1150 SM) di Padang Rumput Eurasia. Agama Indo-Iran meminjam "amalan dan kepercayaan agama yang pelbagai" dari kebudayaan Bactria-Margiana (BMAC), iaitu kebudayaan bukan Indo-Arya (2250 - 1700 SM) di selatan Asia Tengah tatkala puak-puak Indo-Arya tinggal di situ sebagai bangsa yang berasingan pula daripada bangsa induk pada awal abad ke-2 SM. Dari penempatan kebudayaan BMAC, puak Indo-Arya berhijrah ke kawasan barat laut benua kecil India lalu agama Veda berkembang di situ semasa awal zaman Veda (1500 - 1100 SM) sebagai salah satu kepelbagaian agama Indo-Arya, dipengaruhi oleh saki baki Ketamadunan Lembah Indus lewat (2600 - 1900 SM).
Semasa zaman Veda lewat (1100 - 500 SM), agama Brahmanisme mencabang keluar dari agama Veda, sebagai salah satu ideologi alam Kuru-Panchala yang berkembang ke dalam kawasan yang lebih luas lagi selepas kehancuran alam Kuru-Panchala dan penguasaan mandala kebudayaan Magadha yang bukan berasaskan kitab suci Veda. Agama Brahmanisme ini menjadi salah satu daripada pengaruh besar yang membentuk agama Hindu kontemporari, apabila agama Veda Indo-Arya disenyawakan dengan warisan agama bukan Indo Arya di timur Lembangan Ganges yang mana ia turut menimbulkan agama Buddha dan agama Jain, serta tradisi keagamaan tempatan lain.
Upacara tertentu dan korban dalam agama Veda itu antara lainnya termasuklah upacara Soma, upacara Havir yang melibatkan persembahan kepada Tuhan dan Asvamedha iaitu pengorbanan kuda. Acara yang melibatkan penguburan dan pembakaran mayat juga telah kelihatan sejak zaman Rigveda. Dewata yang ditekankan dalam agama Veda ini adalah seperti Dyaus Pater, Indra, Agni, Rudra, dan Varuna serta konsep susila pentingnya termasuklah satya dan artha.