Kebudayaan India purba telah pun wujud di kepulauan India yang merangkumi kebanyakan rantau dalam negara Indonesia sejak abad ke-5 masihi lagi. Ia ditandai dengan kewujudan kepercayaan Buddha dan Brahmana. Teori-teori yang menggambarkan masuknya kebudayaan dari benua kecil India itu mencakupi teori brahmin, kesatria, vaisya dan arus balik.
Dalam teori brahmin, kepercayaan dan agama Buddha dari India (Hindu-Buddha) dibawa ke Indonesia oleh kaum pendeta. Hal ini dikaitkan dengan prasasti berbahasa Sanskrit. Sementara itu, teori kesatria mencadangkan bahawa kemasukan kebudayaan India purba ini dibawa oleh tentera India purba yang melarikan diri ke rantau Nusantara setelah kekalahan dalam pertempuran di benua kecil India. Kemudian, teori vaisya menyatakan bahawa masuknya kebudayaan India ke kepulauan India melalui para pedagang yang datang dan menetap di Nusantara lalu menyebarkan kebudayaannya kepada masyarakat sekitar. Terakhir sekali, teori arus balik menjelaskan bahawa masyarakat peribumi sendiri yang pergi ke India terus dan kemudian membawa balik budaya dari sana ke kepulauan India. Dengan ketibaan kebudayaan India purba ini, kepulauan India mengalami perubahan yang besar dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakatnya meliputi kesenian, kepercayaan, agama, politik dan sosial.
Kebudayaan India Purba di Rantau Indonesia
Dalam kesenian, sebahagian besar karya seni contohnya di negara Indonesia merupakan perpaduan antara kebudayaan India purba dengan kebudayaan tempatan. Hal ini boleh dilihat pada seni ukiran pada pahatan di Candi Borobudur yang merupakan hasil pembauran kedua-dua budaya. Seni bangunan seperti patung dalam candi juga mencerminkan persenyawaan antara budaya India purba dengan budaya di Tanah Jawa.
Tidak ketinggalan juga seni pertunjukan yang mencedok ceritera Ramayana dan Mahabharata sebagai sumbernya lalu menghasilkan kesenian seperti wayang kulit di Tanah Jawa. Kesenian wayang kulit ini biasanya dipentaskan dengan diiringi oleh bunyi gamelan Jawa. Perpaduan budaya dalam bidang seni ini menjadikan budaya di negara Indonesia misalnya menjadi kaya dan menarik perhatian para peminatnya. Namun, pada kenyataannya, sebahagian besar masyarakat moden di negara Indonesia juga semakin lupa akan kesenian tersebut terutamanya seni pertunjukan kerana arus globalisasi yang menyaksikan kebudayaan dari Eropah dipandang sebagai budaya yang lebih maju ke hadapan.
Selain berpengaruh dalam bidang kesenian, kebudayaan India purba turut mempengaruhi kepercayaan di negara Indonesia. Sebelum masuknya kepercayaan Hindu-Buddha, masyarakat di Nusantara atau Tanah Jawa pada masa lalu mengamalkan kepercayaan animisme dan dinamisme. Animisme ini adalah kepercayaan terhadap makhluk halus dan roh nenek moyang sedangkan dinamisme pula adalah keyakinan bahawa makhluk alam seperti pokok atau batu-batuan memiliki kekuatan ghaib. Setelah kemasukan kepercayaan Hindu-Buddha maka kepercayaan asal ini berubah bentuknya mengikut kesesuaian zamannya.
Agama Hindu-Buddha yang berkembang di Indonesia mengalami persenyawaan (sinkretisme) iaitu perpaduan antara dua kepercayaan yang berbeza menjadi satu. Perbezaan agama Hindu-Buddha di Indonesia dan di India ini dicerminkan oleh pelaksanaan upacara keagamaan seperti Nyepi di Bali yang tidak pernah diketahui pun di benua kecil India.
Dalam bidang politik, kemasukan kebudayaan Hindu-Buddha di Nusantara mengubah sistem pemerintahan daripada kepala suku itu menjadi raja. Hal ini dilihat pada kerajaan-kerajaan yang diasaskan pada zaman Hindu-Buddha contohnya kerajaan Martadipura, Tarumanagara, Majapahit, Srivijaya dan lain-lain lagi.
Akhir sekali, dalam bidang sosial pula banyak sekali perubahan dalam tata kehidupan masyarakat akibat kemasukan sistem varna atau kasta. Kasta seperti brahmin, kesatria, vaisya dan sudra mempengaruhi struktur sosial masyarakat di Indonesia atau kepulauan India secara keseluruhannya. Meskipun demikian, kehidupan sosial masyarakat Indonesia tetap mengikuti perkembangan zaman dengan menerima unsur dari luar namun ia disesuaikan dengan tradisi masyarakat setempat. Oleh yang demikian, sistem kasta di Indonesia atau kepulauan India tidaklah seketat dan mengikat seperti yang ada di benua kecil India sana.
