Terapi penjagaan kesihatan Ayurveda telah berevolusi dan mengalami pelbagai perubahan sejak lebih daripada dua ribu tahun yang lalu. Terapinya termasuklah perubatan, kaedah pemakanan khusus, semadi, yoga, urutan, julap, enema dan minyak kesihatan. Ubat-ubatan biasanya berasaskan kepada gabungan pati herba dan bahan-bahan galian barangkali dipengaruhi oleh ilmu kimia India awal yang dikenali sebagai rasa shastra. Sastera Ayurveda purba juga mengajar beberapa teknik pembedahan termasuklah pembedahan membuang batu karang, rhinoplasty atau pembedahan hidung, jahitan anggota badan terkoyak dan pembedahan membuang bendasing dari badan.
Sastera Ayurveda utama bermula dengan pemindahan pengetahuan perubatan dari dewata kepada para resi dan kemudian kepada ahli perubatan manusia. Dalam Sushruta Samhita, Sushruta menulis bahawa dewa Dhanavatari, iaitu dewa penjaga ilmu Ayurveda menjelmakan dirinya sebagai raja negara kota Varanasi lalu mengajari ilmu perubatan kepada sekelompok ahli perubatan termasuklah Sushruta sendiri.
Ayurveda kemudian disesuaikan untuk kegunaan orang Barat terutamanya oleh Baba Hari Dass pada tahun 1970an dan oleh Maharesi Ayurveda pada tahun 1980an. Sesetengah sarjana menekankan bahawa Ayurveda berasal dari zaman prasejarah lagi. Sesetengah konsep didakwa telah wujud sejak zaman Tamadun Lembah Indus atau mungkin lebih awal lagi. Ayurveda berkembang dengan pesat semasa zaman Vedic dan kemudian sesetengah sistem bukan dari ajaran Vedic seperti ajaran Buddha dan Jain turut memperkembangkan lagi konsep serta amalan perubatan yang kemudian muncul dalam sastera Ayurveda klasik.
Dalam sastera Ayurveda, keseimbangan dosa ditekankan dan menekan keperluan semulajadi dianggap sebagai tidak sihat serta didakwa menyebabkan penyakit. Risalah Ayurveda menjelaskan mengenai tiga unsur dosa iaitu vata, pitta dan kapha. Selain itu, ia menjelaskan mengenai samyatva atau keadaan keseimbangan dosa yang membawa kepada kesihatan manakala visamatva atau keadaan tidak seimbang dosa pula menyebabkan penyakit. Risalah Ayurveda terbahagi kepada lapan bahagian kanun perubatan. Pengamal Ayurveda memperkembang pelbagai persediaan perubatan dan prosedur pembedahan dari sekurang-kurangnya awal abad masihi.
Pusat Kajian Barah UK mendakwa bahawa tiada sebarang bukti bahawa amalan Ayurveda ini berkesan dalam merawat sebarang penyakit. Amerika Syarikat mendakwa bahawa persediaan Ayurveda mempunyai plumbum, merkuri dan arsenik yang diketahui berbahaya kepada manusia. Pada tahun 2008, kajian menunjukkan bahawa hampir 21% ubat-ubatan yang dipatenkan sebagai Ayurveda yang dihasilkan di Amerika Syarikat dan India dijual di internet mengandungi kandungan logam berat bertoksik yang tinggi seperti plumbum, merkuri dan arsenik. Kesan kesihatan awam dari pencemaran logam yang terdapat dalam produk dari India pula tidak diketahui.