Aliran Theravada atau Sthaviravada dalam bahasa Sanskrit adalah merupakan aliran yang diterima sebagai aliran tertua yang pernah wujud dalam agama Buddha. Penganut Buddha aliran ini dikenali sebagai Theravadin dan mereka memelihara ajaran Buddha versi mereka dalam sastera Pali sejak berabad-abad lamanya.
Sastera Pali adalah merupakan sastera Buddha yang paling lengkap yang dipelihara dalam bahasa klasik iaitu bahasa Pali. Bahasa ini menjadi bahasa suci dan lingua franca bagi penganut Buddha aliran Theravada. Berbeza dengan aliran Mahayana dan Vajrayana, aliran Theravada lebih konservatif dalam urusan pariyatti atau doktrin dan vinaya atau tatasusila kebiaraan. Salah satu daripada elemen konservatisme adalah aliran Theravada menolak kesahihan sutra aliran Mahayana yang muncul dari abad pertama sebelum masihi sehingga seterusnya.
Aliran Theravada moden terbit dari susunan Mahavihara, satu cabang dari tradisi Vibhajjavada di Sri Lanka. Aliran ini asalnya adalah satu aliran yang berkembang di India dikenali sebagai aliran Sthavira Nikaya. Tradisi ini kemudian berkembang sendiri di Sri Lanka bermula dari abad ke-3 SM sehingga seterusnya. Sastera Pali dicatitkan di Sri Lanka dan sastera berisi ulasan dari aliran ini pun berkembang di sana. Tradisi Mahavira dari aliran Theravada inilah yang kemudian melebar ke seluruh Asia Tenggara. Kini ia menjadi aliran yang dominan di Thailand, Kemboja, Myanmar, Laos dan diamalkan oleh sebilangan suku kaum di India, Bangladesh, China, Nepal dan Vietnam. Diaspora kelompok ini termasuklah mereka yang menerima lalu memeluk ajaran Buddha melalui aliran ini mengamalkannya dan mengembangkannya lagi di seluruh dunia.
Dalam era moden ini, perkembangan baru aliran Theravada termasuklah pemodenan penganut Buddha, pergerakan Vipassana yang menyuburkan kembali amalan pertapaan aliran Theravada, perkembangan tradisi hutan Thai yang menekankan semula kebiaraan dalam hutan dan penyebaran aliran Theravada ke barat sehingga ke India dan Nepal serta imigran Buddha serta penganutnya di negara Eropah dan Amerika Syarikat.
A. Aliran Theravada Pra-Moden
Aliran Theravada berasal dari Vibhajjavada, satu pecahan dari Sthavira Nikaya yang merupakan satu daripada dua susunan utama yang muncul selepas perpecahan pertama dalam masyarakat Buddha di benua kecil India. Sumber aliran ini menjejaki tradisinya dari Majlis Buddha Ke-III di mana Moggaliputta-Tissa dikatakan telah mengumpulkan Kathavatthu, salah satu karya penting yang membentangkan pendirian doktrin Vibhajjavada.
Seterusnya, aliran ini tersebut di seluruh benua kecil India dan Sri Lanka melalui usaha penyebar ajaran Buddha seperti Mahinda dan melalui sokongan baginda Asoka, raja dinasti Maurya. Aliran ini seterusnya digelar sebagai Tambapanniya apabila ia disebarkan di Sri Lanka. Kemudian, ia digelar sebagai Mahaviharavasin kerana pusatnya terletak di Mahavihara di Anuradhapura. Menurut sumber Theravada lagi, satu lagi misi penyebaran ajaran Buddha kerajaan Maurya telah dihantar ke Suvannabhumi yang mungkin merujuk kepada Asia Tenggara.
Menjelang abad pertama SM, ajaran Buddha Theravada telah pun berkembang dengan baik di penempatan dalam kerajaan Anuradhapura. Sastera Pali yang mengandungi agama utama aliran Theravada disimpan dalam bentuk dokumen bertulis pada abad pertama SM. Sepanjang sejarah Sri Lanka pada zaman purba dan zaman pertengahan, ajaran Buddha Theravada menjadi agama utama orang Sinhala. Biara mereka disokong oleh raja-raja Sri Lanka yang memandang diri mereka sebagai pelindung dan penegak agama Buddha aliran Theravada.
Selepas beberapa lama, dua lagi aliran berpecah dari tradisi Mahavihara iaitu tradisi Abhayagiri dan Jetavana. Semenyata tradisi Abhayagiri dikenali ramai sebagai pengajian kesusasteraan Mahayana dan Vajrayana yang disenyawakan serta aliran Theravada namun tradisi Mahavihara tidak menerima sastera-sastera baru ini. Sebaliknya, sarjana Mahavihara seperti Buddhaghosa memberikan tumpuan kepada tafsiran sastera Pali dan Abhidhamma. Cawangan kecil aliran Theravada ini pun sering bercanggahan dengan sesama sendiri kerana berebut sokongan dari istana. Pemerintahan raja Parakramabahu I (1153-1186) menyaksikan pembaharuan besar-besaran dalam Sangha Sri Lanka selepas bertahun-tahun peperangan di pulau itu. Raja Parakramabahu menggabungkan semua sangha menjadi satu dan meletakkan mereka di bawah aliran Mahavihara.
Bukti epigrafi turut menyatakan bahawa ajaran Buddha Theravada menjadi agama utama dalam kerajaan purba di Asia Tenggara contohnya seperti kerajaan Sri Ksetra dan Dvaravati dari abad ke-5 M sehingga seterusnya. Sastera Buddha tertua sekali yang terselamat dalam bahasa Pali dicatitkan pada piring emas yang ditemui di Sri Ksetra bertarikh antara abad ke-5 sehingga ke-6 masihi. Sebelum tradisi Theravada terkenal di Asia Tenggara, tradisi Mahayana dan Vajrayana serta agama Hindu turut dianuti sebahagian besar penduduknya.
Bermula abad ke-11 masihi, bhiksu Theravada berbangsa Sinhala dan bangsawan Asia Tenggara telah menjalankan penyebaran ajaran Buddha dari Mahavihara secara meluas di kebanyakan kawasan di Asia Tenggara. Perlindungan istana seperti dari raja Aniruddha (1044-1077) dan raja Ramakhamhaeng (abad ke-13 m) menjadi batu loncatan juga kepada kebangkitan ajaran Buddha sehingga menjadi agama anutan yang utama di Burma dan Siam.
Raja-raja di negara purba tersebut menganggap diri mereka sebagai dhammaraja atau pelindung ajaran Buddha dan menyokong pembinaan biara baru, kesarjanaan, kenaikan masyarakat awam ke sangha serta penyebaran ajaran Buddha. Mereka turut cuba menghalang amalan-amalan bukan Buddha seperti ritual pengorbanan haiwan. Pada abad ke-15 dan ke-16 masihi, aliran Theravada menjadi aliran rasmi di Kemboja dan di Laos. Banyak sekali kompleks kuil Hindu dan biara aliran Mahayana seperti Angkor Wat atau Angkor Thom diubah menjadi biara aliran Theravada.