Beliau menceritakan pengalaman beliau semasa muda, apabila beliau kurang berhati-hati yang mana beliau menerima tindak balas negatif selepas bercakap mengenai ishta devata seseorang. Tindak balas ini tidak semestinya berasal dari manusia tetapi juga dari makhluk lain. Menurut beliau, hal ini adalah urusan alam semulajadi jadi kita tidak sepatutnya melampaui adhikara kita atau hak kita apabila berbicara mengenai sesuatu perkara. Secara teknikalnya, seseorang itu mempunyai hak atas segala sesuatu namun hanya selepas dia mengetahui akibat baik dan buruk daripadanya. Selain itu, apabila membicarakan mengenai kaedah sadhana sebenar atau upasana pula, perbincangan yang khusus mengenai mestilah dibuat secara peribadi dan tertutup. Ia mestilah dilakukan apabila guru itu mengenali siapakah muridnya, dan murid juga mengenali siapakah gurunya. Seseorang itu boleh melontarkan 100 perkataan tetapi penerimaan orang terhadap setiap satunya itu berbeza pula.
Seseorang yang pakar dalam hal mantra akan membacakan ayat-ayat yang hanya difahami olehnya sendiri. Ia tidak akan difahami oleh orang yang tidak berhubungan dengannya. Ilmu ini bukannya sesuatu yang sengaja disembunyikan kerana ilmu itu tidak terbatas untuk semua. Namun, penerimaan seseorang kepada ilmu itu bergantung kepada kemampuannya dalam menerima ilmu itu juga. Contohnya, jika seseorang itu ingin membuktikan bahawa ilmu itu sesuai atau tidak dengannya, maka dia perlu menduduki ujian atau peperiksaan. Selepas itu, barulah dia boleh melatih dirinya dalam mengasah penguasaannya atas ilmu tersebut.
Kemudian, Ranveer juga berkongsi pengalaman peribadinya dengan pendengar. Menurutnya, dia seorang yang mempunyai ingatan yang kuat. Dia masih boleh ingat lagi banyak perkara semasa zaman kanak-kanaknya. Antara ingatan terawal yang masih diingati olehnya ialah gambar Krishna di rumahnya. Seingatnya lagi, gambar tersebut tersenyum kepadanya apabila dia melihat gambar itu. Dia ingat dengan jelas pencahayaan dan waktu dia melihat gambar itu serta dia ingat lagi dia nampak gambar itu tersenyum banyak kali kepadanya. Seterusnya, ingatan beliau di pawagam semasa dia berusia tiga tahun setengah. Kemudian, semasa dia berusia 20 tahun dia pernah bertanya kepada ibunya mengenai gambar lukisan Krishna dan memberitahu bahawa gambar itu seolah-olah tersenyum kepadanya. Ibunya kemudian merenungnya kembali seolah-olah dia telah gila. Ibunya memberitahu bahawa memang ada gambar Krishna di bilik itu tetapi pada ketika itu mak masih mengandung kamu. Sebelum kamu lahir pun lukisan gambar itu telah dipindahkan ke bilik lain. Adakah itu bermaksud sesetengah memori daripada ibunya bercampur dengan mindanya? Menurut Ranveer lagi, sebab beliau menceritakan pengalamannya ini adalah kerana sepanjang hidupnya, dia akan sentiasa kembali kepada Krishna walaupun dia pernah melihat dewata lain seperti Durga namun dia akan tetap kembali kepada Krishna. Di samping itu, pusat yoga yang disertai oleh Ranveer pun memberikan tumpuan khas kepada Krishna juga. Jadi, berdasarkan kepada takat kemampuan manusiawinya, Ranveer menganggap bahawa Krishna ialah ishta devata nya.
Rajarshi Nandy tidak menolak kemungkinan bahawa Krishna boleh jadi ishta devata bagi Ranveer. Mungkin Krishna ada hubungan dengan Ranveer dari segi kehidupan lampaunya. Apa yang harus dilihat adalah sama ada Krishna akan menjadi dewata yang membawa seseorang itu menuju kepada tahap yang lebih tinggi atau evolusi spiritual ke tahap yang lebih tinggi. Hakikat bahawa Ranveer mempunyai memori jelas mengenai Krishna ini menunjukkan bahawa terdapat pertalian antara Ranveer dengan Krishna. Jadi, hal ini sahaja sudah mencukupi untuk Ranveer memulakan upasana bagi Krishna jika dia berminat untuk mendalaminya.