Keinginan mendapatkan emas menyebabkan pengembara pada awal permulaan zaman moden berlumba-lumba menjalankan pencarian. Walaupun banyak rantau yang didedahkan kepada mereka, namun mereka masih lagi bertumpu di Kepulauan Hindia Timur bagi mendapatkan emas dan perak. Mereka percaya bahawa mineral berharga itu terkumpul di situ dan boleh digali dengan mudah tanpa perlu bersusah payah. Walaupun mereka gagal, namun mereka berasa sukar sekali untuk melupakan gambaran yang memikat itu. Apabila mereka tidak menemui bahan yang dicari di rantau itu seperti yang disebut dalam lagenda purba, dan oleh peta-peta yang didasarkan kepada penceritaan pengembara itu, mereka berharap supaya mereka mencapai kejayaan yang lebih baik lagi di rantau yang masih tidak dijelajahi sesiapa. Mereka ghairah sekali mencari petunjuk yang boleh membawa mereka ke arah objek yang menarik perhatian mereka itu.
Sejarah geografi sering menunjukkan Pulau Emas dan Perak yang diperkatakan itu, terletak di arah Timur. Marco Polo menceritakan juga dalam gaya bahasa yang melebih-lebih mengenai kemewahan emas di Zipangu, yang terletak di hujung dunia, dan menunjukkan bahawa tempat itu menjadi sumber kepada logam berharga yang dicari oleh ramai orang. Martin Benhaim, dalam bebola peta nya pada tahun 1492, meletakkan Argyre dan Chryse dari zaman purba di rantau sebelah Timur.
Pada tahun 1519, Cristóvão de Mendonça, telah diberikan arahan untuk mencari kepulauan lagenda yang mempunyai galian emas, dikatakan terletak melepasi Sumatra. Namun, beliau gagal menemuinya, dan pada tahun 187, satu ekspedisi di bawah perintah Pedro Unamunu dihantar untuk mencari emas di kawasan Zipangu atau Jepun. Menurut Antonio de Herrera y Tordesillas, pada tahun 1528, Álvaro de Saavedra Cerón dalam kapal Florida belayar dari Maluku ke Mexico lalu tiba di sebuah pulau besar lalu ia disangka oleh beliau sebagai Isla del Oro yang sepatutnya terletak di Kepulauan Carribean. Pulau itu walau bagaimanapun tidak dapat dikenal pasti walaupun nampaknya ia seperti terletak di Biak, Manus atau salah satu daripada pulau di Kepulauan Schouten di pantai utara New Guinea.