Pelebaran ke Luar Benua India

Cetusan semula lukisan mural di Gua Mogao
yang menggambarkan baginda Buddha dikelilingi
oleh para Bodhisattva

Seiring dengan perjalanan masa, sastera dan falsafah Mahayana melebar keluar dari benua kecil India ke Asia Tengah sampai ke China melalui laluan perdagangan seperti Jalan Sutera. Dari China, ia seterusnya tersebar ke seluruh Asia Timur. Selain itu, ajaran Buddha di Asia Tengah juga semakin lama semakin terpengaruh dengan pergerakan Mahayana dan ia menjadi sumber rujukan utama pula bagi penganut Buddha di benua China.

Karya Mahayana juga ditemui di Gandhara yang menunjukkan kepentingan wilayah ini dalam penyebaran pergerakan Mahayana. Sarjana Mahayana di Asia Tengah memainkan peranan penting dalam penyebaran ajaran Buddha melalui Jalan Sutera. Mereka termasuklah penterjemah seperti Lokaksema (sekitar 167 - 186), Dharmaraksa (sekitar 265 - 313), Kumarajiva (sekitar 401) dan Dharmaksema (385 - 433). Dunhuang nampaknya menjadi pusat yang penting sekali bagi pengajian ajaran Buddha aliran Mahayana.

Ajaran Buddha aliran Mahayana tersebar ke China, Korea, Vietnam dan Jepun yang sebahagiannya pun masuk ke Jepun menerusi Korea juga. Selain itu, aliran Mahayana turut melebar terus ke Asia Tenggara di Myanmar, kemudian di Sumatera dan di Semenanjung Tanah Melayu melalui benua kecil India. Dari Sumatera, ia masuk ke pulau-pulau lain yang kini berada dalam rantau Indonesia moden seperti Jawa dan seterusnya ke Borneo, kawasan-kawasan dalam Filipina moden, kawasan dalam Kemboja dan akhirnya tradisi Mahayana dari Asia Tenggara ini naik semula lalu masuk ke benua China.

Menjelang abad ke-4 masihi, bhiksu dari China seperti Faxian (sekitar 337 - 442 masihi) juga mula melakukan ziarah di India yang ketika itu dikuasai oleh dinasti Gupta untuk membawa pulang ajaran Buddha khususnya dari sastera Mahayana. Tokoh-tokoh ini turut menulis mengenai pengalaman mereka di India dan karya mereka ini kekal berharga bagi orang ramai memahami ajaran Buddha dari benua kecil India. Dalam beberapa hal, tradisi Mahayana dari India dipindahkan secara langsung seperti dalam kes aliran Madhyamaka di Asia Timur oleh Kumarajiva dan Yogacara di Asia Timur oleh Xuanzang. Seterusnya, perkembangan baru dalam aliran Mahayana di benua China melahirkan tradisi ajaran Buddha tempatan di China seperti Tiantai, Huayen, Tanah Suci Amitabha dan Dhyana atau Zen. Tradisi-tradisi ini turut tersebar di Korea, Vietnam dan di Jepun.