Menurut Donald S. Lopez Jr. istilah Buddhisme ini sebenarnya adalah satu neologisme yang secara kasarnya digunakan sebagai terjemahan kepada dharma sang Buddha. Bahasa Pali menyebutnya sebagai Buddha-Sasana dan bahasa Sanskrit menyebutnya sebagai Buddha-Dharma.
A. Empat Kebenaran Mulia
Empat Kebenaran Mulia ini mengungkapkan kecenderungan asas ajaran Buddha iaitu apabila kita inginkan dan ketagih kepada keadaan atau perkara yang tidak abadi maka timbul dukkha atau ketidakmampuan untuk memuaskan dan kesakitan.
Keadaan seperti itu menyebabkan kita terjatuh ke dalam samsara, putaran kelahiran berulang yang tidak berkesudahan, dukkha, dan mati lagi. Namun, terdapat satu cara mencapai kebebasan dari samsara iaitu dengan masuk ke dalam keadaan nirvana. Pertama sekali seseorang itu haruslah mengikuti Jalan Mulia Berlapis Lapan.
Kebenaran mengenai dukkha ini menjadi wawasan asas bahawa hidup dalam duniawi dengan ketagihan dan keterikatan kepada perkara atau keadaan yang tidak abadi itu adalah dukkha dan ketidakpuasan. Dukkha boleh diterjemahkan sebagai 'ketidakmampuan untuk memuaskan,' 'ciri ketidakpuasan dan rasa tidak selamat yang umum dalam semua fenomena bersyarat atau kesakitan. Dukkha selalunya diterjemahkan sebagai "kesengsaraan" namun hal ini adalah tidak tepat kerana ia bukan merujuk kepada penderitaan yang berlaku sekali-sekala namun kepada semua ciri ketidakpuasan hakiki yang timbul dari perkara atau keadaan yang sementara termasuklah kesenangan namun pengalamannya sementara sahaja. Kita mengharapkan kebahagian daripada keadaan atau perkara yang tidak abadi, maka kita tidak akan dapat mencapai kebahagiaan yang sebenar.
Dalam ajaran Buddha, dukkha ini adalah salah satu daripada tiga tanda kewujudan. Dua lagi tanda kewujudan adalah anicca dan anatta. Seperti agama Hindu yang lain, ajaran Buddha menekankan bahawa setiap sesuatu itu adalah anicca atau tidak abadi. Namun, berbeza pula dengan agama lain ajaran Buddha turut menekankan bahawa tiada nafsu yang kekal dalam makhluk yang dirangkumkan dalam istilah anatta. Avijja atau kejahilan atau salah tanggapan bahawa segala sesuatu itu adalah abadi atau terdapat jati diri dalam setiap sesuatu itu boleh dianggap sebagai pemahaman yang salah. Ia menjadi punca asas kepada keterpautan hati dan dukkha.
Dukkha timbul apabila timbulnya tanha atau kita mengidamkan sesuatu dan terpaut kepada fenomena yang sering berubah-ubah ini. Keterpautan hati dan idaman ini menimbulkan karma yang mengikat kita dalam samsara. Idaman ini termasuklah kama-tanha atau mengidamkan kesenangan deria; bhava-tanha atau mengidamkan untuk terus berada dalam putaran hidup dan kematian termasuklah kelahiran semula; dan vibhava-tanha atau idaman untuk tidak merasai duniawi dan perasaan kesakitan di dalamnya.
Dukkha boleh dihentikan atau dikekang apabila idaman dan keterpautan itu dihentikan atau dikekang. Maka, tiada sebarang karma dihasilkan dan kelahiran semula diakhiri. Penghapusan itu disebut sebagai nirvana yang bermaksud terpadam dan tiada sebarang semak-samun lagi dalam jiwa.
Dengan mengikuti jalan Buddha ke arah moksha atau pembebasan, maka seseorang itu akan mula keluar dari idaman dan keterpautan terhadap sesuatu yang tidak abadi atau dari keadaan yang tidak abadi. Istilah marga ini selalunya difahami sebagai Jalan Mulia Berlapis Lapan namun terdapat juga pelbagai lagi "marga" yang boleh ditemui dalam nikaya lain. Tradisi Theravada melihat bahawa renungan terhadap empat kebenaran mulia itu sendiri adalah tindakan pembebasan.
B. Nirvana dan Moksha
Penghapusan klesha dan mencapai nirvana yang mana dengannya itu samsara akan berakhir merupakan matlamat utama dan soteriologi jalan Buddha untuk mereka yang memasuki samgha semasa zaman Buddha. Istilah "jalan" ini selalunya digunakan bagi merujukan kepada Jalan Mulia namun terdapat juga "jalan" lain dalam nikaya lain. Dalam sesetengah ayat dari kitab berkanun Pali, perbezaan dibuat antara samma-nana, pengetahuan yang benar atau renungan dengan samma-vimutti, pembebasan yang benar sebagai satu cara untuk memadamkan semak-samun dan mencapai pembebasan.
Nirvana bermaksud "memadamkan" sesuatu. Dalam sastera awal Buddha, ia merupakan satu keadaan di mana kawalan diri itu membawa kepada "terpadamnya" semak-samun dalam jiwa lalu mengakhiri putaran kesengsaraan yang dikaitkan dengan kelahiran semula dan kematian berulang-ulang. Kebanyakan sastera Buddha menjelaskan nirvana ini sebagai sejati dengan anatta atau "kekosongan" atau "ketiadaan" terus. Dalam sesetengah sastera, keadaan ini dijelaskan dengan lebih lanjut lagi contohnya seperti setelah melepasi gerbang sunyata atau kekosongan, maka disedarilah bahawa tiada jiwa atau diri di dalam makhluk yang hidup. Seterusnya setelah melepas gerbang animitta atau ketiadaan tanda, maka disedarilah bahawa nirvana itu tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Akhir sekali setelah melepasi gerbang apranihita atau tiada keinginan lagi maka disedarilah bahawa nirvana ini adalah keadaan di mana tidak menginginkan nirvana itu pun adalah nirvana.
Keadaan nirvana ini dijelaskan dalam sastera Buddha sebahagiannya dengan cara yang sama dengan agama Hindu yang lain. Ia adalah keadaan di mana pembebasan sempurna, kecerahan, kesukaan maha tinggi, ketenangan, tiada lagi ketakutan, kebebasan, keabadian, asal-usul yang tidak bergantung, tidak dapat digambarkan dan dijelaskan oleh sesiapa pun. Ia juga dijelaskan secara berbeza sebahagiannya iaitu sebagai keadaan di mana pembebasan jiwa itu ditandai dengan "kekosongan" dan kesedaran mengenai tanpa jiwa.
Walaupun ajaran Buddha mempertimbang kebebasan dari samsara itu sebagai matlamat tertinggi rohaniah seseorang dalam amalan tradisionalnya. Namun, tumpuan utama kebanyakan upasaka Buddha banyak diberikan kepada mengumpulkan dana pahala melalui karma amalan kebajikan, menderma kepada bhiksu dan upacara Buddha lain bagi mendapatkan kelahiran yang lebih baik daripada mencapai nirvana itu sendiri.