Orang Indo-Arya

 

Orang Indo-Arya merujuk kepada pengembala lembu dan haiwan ternakan Indo-Arya yang berhijrah dari Asia Tengah ke Asia Selatan pada abad kedua sebelum masehi. Mereka memperkenal bahasa Indo-Arya dan juga menjadi cikal bakal kepada kelompok etnolinguistik yang bertutur dalam bahasa Indo-Arya moden.

Sejarah

Teori penghijrahan orang Indo-Arya yang dicadangkan antara lainnya oleh David W. Anthony, ahli antropologi dalam karyanya The Horse, The Wheel and Language dan Elena Effimovna Kuzmina serta J.P. Mallory, menunjukkan bahawa pengenalan bahasa Indo-Arya di benua kecil India adalah merupakan hasil dari penghijrahan mereka yang berasal dari Kebudayaan Sintashta. Mereka bergerak menerusi Kebudayaan Bactria-Margiana menuju ke utara benua kecil India yang pada zaman ini meliputi kawasan dalam India, Nepal, Bhutan, Bangladesh, Pakistan dan Sri Lanka. Penghijrahan ini bermula pada kira-kira 1,800 SM selepas penciptaan pedati perang yang juga membawa bahasa Indo-Arya ke rantau Levant dan kemungkinannya ke Asia Tengah.

Orang Iran Tua yang menjadi cikal bakal kepada orang Indo-Arya pula dikenalpasti dengan Kebudayaan Sintashta (2100-1800 SM) dan Kebudayaan Andronovo yang subur sekitar 1800-1400 SM di padang rumput sekitar Laut Aral di rantau dalam Kazakhstan, Uzbekistan dan Turkmenistan. Orang Iran Tua dipengaruhi oleh Kebudayaan Bactria-Margiana di selatan Kebudayaan Andronovo. Dari situ juga, mereka meminjam kepercayaan keagamaan dan amalan upacara keagamaan. Orang Indo-Arya berpecah sekitar 1800-1600 SM dari orang Iran di mana selepas itu orang Indo-Arya berhijrah ke Levant dan barat daya benua kecil India. Penghijrahan ini adalah merupakan sebahagian daripada penyebaran bahasa Indo-Arya dari tanah air orang Indo-Arya Tua di padang rumput Pontic yang bermula dalam abad ke-4 SM.

Orang Indo-Arya disatukan dengan kebudayaan dan bahasa kemudian dirujuk sebagai arya atau bangsawan. Penyebaran kebudayaan dan bahasa ini berlaku dalam sistem pemberi-penerima yang membolehkan penyerapan kelompok lain berlaku dalam kebudayaan ini. Ia menjelaskan juga mengenai pengaruh budaya yang kuat ke atas kebudayaan lain apabila mereka berinteraksi.

Walaupun pada umumnya, kelompok etno-linguistik Indo-Arya yang mendiami rantau utara India itu secara genetiknya dikelaskan sebagai Indo-Arya, namun semua orang Asia Selatan di seluruh benua kecil India itu adalah keturunan dari campuran pemburu dan pengumpul hasil hutan Asia Selatan, pemburu dan pengumpul hasil Iran dan pengembala ternakan Asia Tengah. Sebagai tambahan juga, penutur bahasa Austroasia (Mon-Khmer) dan Tibeto-Burma juga turut menjadi penyumbang kepada komposisi genetik di Asia Selatan.

Teori Arya Asli yang berpandangan bahawa bahasa Indo-Arya itu adalah asli di benua kecil India kemudian disebarkan ke luar dan di benua kecil India sendiri. Sokongan semasa ke atas idea ini hanyalah berdasarkan kepada sentimen ke atas ideologi sahaja dan tidak disokong pun oleh kesarjanaan arus perdana.