Salakanagara atau Kota Perak ini dikatakan adalah sebuah kerajaan lagenda yang berkebudayaan India purba di rantau Jawa Barat. Ia kononnya wujud pada sekitar 130 hingga 362 masihi. Tapak ibu kota kerajaan lagenda itu kini menurut spekulasinya berada dalam kawasan Teluk Lada di Pandeglang di Banten. Ia wujud sebelum kemunculan Tarumanagara.
Pengasas kota ini menurut lagendanya bernama Aki Tirem, seorang pemimpin tempatan dan seterusnya diperintah oleh Dewawarman I iaitu seorang pedagang dari Jambudvipa atau India purba. Dinasti yang dimulakan oleh Dewawarman I ini memerintah di Salakanagara atau Kota Perak selama 232 tahun.
Dari segi status sejarahnya, penceritaan tempatan yang tradisional berdasarkan kepada manuskrip Pustaka Rajya Rajya I Bhumi Nusantara hasil semakan putera Wangsakerta dari Cirebon pada abad ke-17 masihi yang menyebut bahawa negara kota ini telah wujud sebelum kewujudan negara kota Kutai di Kalimantan. Selain itu, negara kota ini dikaitkan juga dengan tapak Argyre di pulau Labadiou yang disebut dalam Geographia karya Ptolemy.
Ramailah sejarawan menganggap bahawa kisah mengenai negara kota ini adalah dongeng saja atau berasal dari rekayasa "sumber kedua" kerana kewujudannya tidak disokong oleh jumpaan arkeologi primer yang konkrit seperti prasasti atau inskripsi dari zaman tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa tapak sejarah yang berpotensi dikaitkan dengan negara kota ini termasuklah tapak Cihunjuran dan Citaman yang di dalamnya terdapat tinggalan suci agama purba seperti linga serta yoni.
Negara kota ini dikatakan jatuh pengaruhnya pada abad keempat masihi dan seterusnya masuk ke dalam mandala pengaruh Tarumanagara yang diasaskan oleh menantu raja Salakanagara terakhir. Walaupun rekodnya tidak didokumenkan dengan baik dalam sumber primer semasa, namun Salakanagara ini mempunyai peranan yang penting dalam tradisi sejarah di Jawa Barat. Ia dianggap sebagai nenek moyang kepada kerajaan-kerajaan Sunda yang berikutnya.