Kerajaan Kantoli ini adalah kerajaan purba yang disyaki berada di antara Jambi dan Palembang di Sumatra Selatan sekitar abad ke-5 masihi. Nama Sanskrit "Kuntala" untuk politi ini didapati dari rekod Cina yang menandakan bahawa kerajaan "Sanfotsi" ini pada awalnya dikenali dengan nama Kantoli. Buku "Early Kingdoms of the Indonesian Archipelago and the Malay Peninsula" (2006) menyebut bahawa hal ini menyebabkan sejarawan menganggap bahawa Kantoli ini adalah cikal bakal kepada Srivijaya. Srivijaya dalam hal ini dirujuk sebagai Sanfotsi dalam rekod Cina.
Semasa Dinasti Liu-Song di Selatan China, Kerajaan Kuntala ini pernah menghantar beberapa rajaduta ke benua China. Hubungan perdagangan antara dua kerajaan ini mengalirkan kemewahan kepada Kuntala. Selain itu, Kerajaan Kuntala juga sangat bergantung kepada perdagangan dengan benua China. Selepas itu, Selatan China telah ditakluki oleh Dinasti Sui, menyebabkan perdagangan benua China dengan Kuntala mula berkurangan disebabkan oleh langkah berjimat cermat Maharaja China. Maharaja China melarang bahan-bahan mewah dalam istana yang kebetulannya dibekalkan oleh banyak kerajaan termasuklah Kerajaan Kuntala.
Buku The Indianised States of Southeast Asia (1968) oleh George Coedes mencatitkan bahawa Raja Sri Varanarendra, pemerintah Kerajaan Kuntala telah menghantar rudra-mala kepada istana China antara tahun 454 dan tahun 464. Pada tahun 519, anakanda baginda, Sri Vijayavarman pula menghantar bahan yang sama ke benua China.
Asal Usul Kerajaan Kuntala
Menurut S. Sartono (1992), pedagang yang belayar dengan kapal menghadapi kesukaran untuk melabuhkan kapal mereka di pelabuhan Muara Tebo disebabkan oleh pemendapan di teluk. Kesannya, pelabuhan itu tidak dapat berfungsi lagi sebagai pelabuhan lautan. Kerajaan Koying yang memerintah di rantau Teluk Wen kemudian terpaksa memindahkan pusat perdagangan ke Pantai Timur ke kawasan yang kini dikenali sebagai Kuala Tungkal.
Nugroho (2008) dalam Sejarah Nasional Indonesia II terbitan Balai Pustaka menyatakan bahawa akhirnya, Kerajaan Koying membangunkan kerajaan yang baru di pantai timur. Kerajaan tersebut dikenali dengan nama Kerajaan Kuntala. Kejadian ini berlaku pada sekitar abad ke-5 masihi. Berikutan pembentukan Kuntala ini sebagai sebuah kerajaan baru, ia terus mewujudkan hubungan yang baik dengan Kerajaan Koying.