Kerajaan Koying

Kerajaan Koying adalah sebuah kerajaan yang dikatakan berada di Pulau Sumatra, yang terletak di wilayah Jambi. Kerajaan ini dikesan berdiri pada sekitar abad ke-4 masihi.

Berdasarkan kepada sumber rekod Cina yang dicatatkan oleh rajaduta China seperti Kuang Tai dari Dinasti Wu di Selatan China dan Wan Cen, gabenor Dinasti Wu di Tan berhampiran dengan Nanjing pada tahun 222 - 280 masihi. Selain itu, rekod yang ditulis oleh Tun Yu, kerajaan ini disebut sebagai Ko Ying atau Chi'a Ying pada tahun 375 masihi. Sartono (1992) menyebut bahawa pada sekitar abad ke-3 hingga abad ke-5 masihi, wujud tiga buah kerajaan di wilayah Jambi iaitu:

  • Kerajaan Koying yang wujud sekitar abad ke-3 masihi;
  • Kerajaan Tupo yang muncul sekitar abad ke-3 masihi; dan
  • Kerajaan Kuntala pada abad ke-5 masihi. 

Selanjutnya, catitan dalam ensiklopedia T'ung Tien hasil karya Tu Yu (375 - 812) yang disalin ke dalam ensiklopedia Wen Hsi'en T'ung K'ao oleh Ma Tuan Lin (Wolters 1967: 51) menjelaskan bahawa Kerajaan Koying ini berada di gunung berapi dengan kedudukan 5,000 li ke timur Ch'u Po atau Jambi. Bahagian utara Kerajaan Koying pula terdapat gunung berapi dan bahagian selatannya pula terdapat teluk yang dinamakan sebagai Wen dalam bahasa Cina. Di teluk tersebut, terdapat sebuah pulau yang dinamakan P'u Lei atau Pulau. Menurut ensiklopedia itu lagi, penduduk di pulau tersebut bertelanjang bulat tidak mengira sama ada lelaki atau perempuan. Warna kulit mereka hitam, dengan gigi yang putih dan mata kemerahan.

Penduduk di Pulau menjalankan sistem barter atau pertukaran barang untuk mendapatkan keperluan harian mereka. Mereka bertukar barang seperti logam dengan penumpang kapal yang singgah di Kerajaan Koying untuk barangan seperti ayam, babi, serta buah-buahan. Berdasarkan kepada warna kulit penduduk dalam catitan Cina itu, kemungkinan besar penduduk di situ bukan termasuk dalam rumpun Melayu Tua. Mereka mungkin berbangsa Negrito yang sebelumnya pernah menghuni daratan Sumatra.

Seterusnya, catitan Cina juga menyebut Kerajaan Koying berkemungkinan berada di barat Asia Tenggara atau kemungkinannya di Semenanjung Melaka. Jika kedudukan Kerajaan Koying itu di Semenanjung Melaka, pastilah tidak mungkin kerana catitan Cina menyebut bahawa kawasan itu mempunyai banyak gunung berapi sedangkan Semenanjung Melaka tidak mempunyai sebarang gunung berapi.

Jika kedudukannya di barat Asia Tenggara seperti di Kalimantan, Jawa atau Sumatra, lokasi di Kalimantan itu tidak mungkin juga kerana tiada gunung berapi di situ. Jika ia berada di Pulau Jawa, tidak mungkin juga kerana Kerajaan Koying mestilah berada di selatan gunung berapi, contohnya di Pergunungan Selatan Jawa. Jika Kerajaan Koying diperkatakan berada di Jawa Timur, mestilah ia tidak disebut oleh catitan Cina kerana mereka pun belum mengenali bahagian Jawa Timur lagi.

Namun, jika dikatakan bahawa kedudukan Kerajaan Koying itu di Kerinci, maka kedudukan geografinya itu sangatlah sesuai dan tidak pernah berubah hingga kini di mana Kerajaan Chu Po atau Thu Po merujuk kepada Tapan. Hingga kini ia masih lagi disebut sebagai Tu Po atau Ta Pa oleh orang Kerinci dan penduduk setempat. Sejauh 5,000 li ke timur itu adalah Tanah Kerinci dan ke sebelah utara pula adalah gunung berapi yang menunjukkan kedudukan Gunung Kerinci. Ke selatannya pula ialah Teluk Wen yang selaras dengan Teluk Indrapura, dan di tengahnya pula ialah P'u Lei atau Pulau yang selari dengan Pulau Pagai sesuai dengan gambaran mengenai penduduknya dan kehidupan mereka.

Menurut rekod Cina lagi, Kerajaan Koying memilik pelabuhan dan aktif menjalankan perdagangan terutamanya dengan pelbagai rantau di Sumatera Barat. Catitan Cina mengenai hal ini diperolehi daripada sumber India dan Funan kerana urusan rajaduta banyaknya di sana berbanding di Cina pada ketika itu. Di samping itu, dilaporkan bahawa rakyat di Kerajaan Koying banyak menghasilkan bahan berharga seperti emas, perak, mutiara, batu jed, kristal dan juga pinang. Oleh kerana perdagangan yang aktif ini, sukar sekali untuk menyesuaikan Kerajaan Koying di lokasi Pantai Selatan Jawa. Dalam pada itu, Kerajaan Koying juga menjalankan aktiviti perdagangan pada abad ke-3 masihi di Pasemah dan Ranau di wilayah Lampung di Sumatra Selatan. Kerajaan Koying juga menjalankan aktiviti perdagangan dengan penduduk di Tonkin di Vietnam dan di Funan. Malahan, bahan seramik dari Dinasti Han (abad ke-2 SM hingga ke-2 M) ditemui di beberapa wilayah Sumatra (Ridho, 1979).

Terdapat juga kemungkinan pelebaran pelbagai kerajaan di Sumatra Tengah sehingga ke Palembang di Sumatra Selatan serta Sungai Tungkal di Sumatra Utara seperti yang digambarkan oleh Obdeyn (1942), namun dalam gambar berdasarkan catitan sejarah, Kerajaan Koying tidak pula tercatit. Jika Kerajaan Koying benar-benar berada di sebelah timur Tupo atau Ch'u Po dan kedudukannya di muara pertemuan dua sungai, maka terdapat satu tempat sedemikian iaitu Tapan atau T'u Po di pantai barat Sumatra Barat di daerah Indrapura. Oleh yang demikian, kedudukan Teluk Wen itu dipadankan di Teluk Indrapura yang mana pelabuhan purba di situ dikenal pasti sebagai Muaro Sakai. Hubungan perdagangan di situ berjalan secara langsung dan juga melalui pihak ketiga. Hubungan perdagangan secara langsung terjadi aktiviti perdagangan dengan negeri di luar Teluk Wen dan Selat Melaka. Jadi, berkemungkinan besar Kerajaan Koying ini berada dalam daerah Kerinci.

Hubungan di antara negeri dapat dilihat pada bukti peninggalan sejarah purba di Kerinci seperti bahan seramik yang berasal dari zaman Dinasti Han di China (202 SM - 221 M) yang berupa tempayan ternganga, tempayan bertutuo, mangkuk bergagang, dan bekas berkaki tiga buat menyimpan abu mayat. Bahan seramik yang ditemui ini nampaknya bukan merupakan bahan keperluan harian, sebaliknya adalah bahan yang digunakan bagi upacara keagamaan atau persembahan.

Penemuan bahan yang berasal dari benua China seperti di atas ini menunjukkan bahawa wujud jaluran perdagangan yang baik secara langsung atau tidak antara penduduk di Kerajaan Koying dengan penduduk di dataran benua China. Hubungan perdagangan masa silam antara benua China dan kerajaan purba di Asia Tenggara ini menurut catitan geografi simpanan Dinasti Han telah berlangsung sejak pemerintahan Maharaja Han Wu Di.

Catitan geografi ini dikemukakan oleh Wan Hashim Wan Teh (1997: 96) seperti berikut:

"Dalam Geografi Babad China pada Dinasti Han bergelar Hanshu Dilizhi, terdapat catitan yang menyatakan bahawa semenjak pemerintahan Maharaja Wudi (140 SM - 87 SM), telah ada hubungan rasmi antara Dinasti Han dengan keluarga diraja di Jawa atau di Sumatra bernama Diao Bian atau Devavarman. Hubungan antara kerajan di China dengan kerajaan di Asia Tenggara pada awal kurun masihi ini melibatkan bahan seperti mutiara, batu permata, barangan antik, emas dan pelbagai jenis kain sutera."

Melihat kepada bahan komoditi perdagangan sebagaimana yang disebut dalam catitan geografi Dinasti Han itu, ternyata bahawa sebahagian besar daripada komoditi tersebut dihasilkan oleh kerajaan yang berada di daerah Kerinci atau salah satu negeri yang berada di Sumatra.

Kerajaan tersebut sejak zaman prasejarah lagi telah dikenali ramai menjadi pusat penghasilan barangan yang didagangkan ke luar negara. Oleh itu, besar kemungkinan penduduk di situ telah menjual barangan tersebut ke negara jirannya iaitu kerajaan di Javadvipa. Selanjutnya, Javadvipa yang mempunyai jaringan perdagangan kelautan pada ketika itu mengeksport barangan tersebut ke benua China.

Berdasarkan kepada bukti tinggalan sejarah yang ditemui, didapati bahawa Kerajaan Koying dan ibu negaranya di Kerinci sangat aktif berdagang dengan negara luar. Barangan tersebut ditukar dengan barangan keperluan dengan pedagang dari luar yang singgah berlabuh di Teluk Wen. Bahan yang ditukarkan itu terdiri daripada seramik, manik, sutera dan barangan hiasan yang lain.

Oleh kerana maklumat mengenai kerajaan ini tidak begitu banyak maka aku sertakan juga rujukan tambahan seperti yang berikut:

Sekian, terima kasih.