Kerajaan Indragiri

Kerajaan Indragiri sebelumnya dikenali sebagai kerajaan Keritang. Ia muncul setelah keruntuhan kerajaan Majapahit. Kerajaan ini kini berada dalam kabupaten Indragiri Hilir di wilayah Riau. Pada zaman penjajahan Belanda, kesultanan Indragiri menjadi daerah autonomi yang diawasi oleh pemerintah Belanda. Seterusnya, semasa zaman pendudukan Jepun, Indragiri diserahkan oleh Belanda tanpa syarat. Pasca kemerdekaan, Indragiri diangkat menjadi daerah pangkat II oleh pemerintah Indonesia.

A. Kemunculan

Kerajaan Indragiri muncul selepas empayar Srivijaya hancur akibat serangan dari dua arah oleh dua kerajaan. Kawasan utara empayar Srivijaya telah diserang oleh kerajaan Chola dari Tamil Nadu. Sementara kawasan timur empayar Srivijaya pula diserang oleh kerajaan Majapahit dari Jawa. Serangan ini menyebabkan empayar Srivijaya jatuh dan ranap terus menjelang abad ke-13 masihi. Bukti kejatuhan Srivijaya dapat dipastikan apabila catitan Marco Polo pada tahun 1292 masihi tidak lagi menyebut mengenainya lagi. Empayar Srivijaya terpecah menjadi negara-negara kecil lagi dan kerajaan Keritang ini adalah sebahagian daripada pecahan ini.

B. Jajahan Kerajaan Melaka

Selepas perpecahan dari Srivijaya, kerajaan Keritang dipimpin oleh Raja Kecil Mambang yang digelar sebagai Raja Merlang dari tahun 1298-1337 masihi. Dalam pada itu, kerajaan ini pernah menjadi rantau jajahan empayar Majapahit dan seterusnya diserahkan kepada kesultanan Melaka apabila Sultan Melaka bernikah dengan puteri kerajaan Majapahit.

Selepas takluk kepada kesultanan Melaka, agama Islam mula diperkenalkan di kerajaan itu. Tidak lama selepas itu juga, raja Merlang ditawan dan dihantar ke Melaka. Hal ini adalah untuk memastikan rakyat kerajaan Keritang tidak memberontak dan memudahkan pemantauan dijalankan oleh kerajaan Melaka.

Kerajaan Keritang menjadi semakin lemah selepas raja Merlang dinikahkan dengan puteri Bakal, anakanda Sultan Mansyur Syah, Sultan Melaka. Kaedah pernikahan ini digunakan oleh sesuatu kerajaan pada ketika itu untuk menyerap masuk kerajaan taklukan ke dalam empayarnya. Hasil pernikahan antara raja Merlang dengan puteri Bakal ini, lahirlah anakanda mereka, Narasingha II. Baginda raja Narasingha membesar di Melaka dan dijadikan menantu oleh Sultan Mahmud Syah I yang memerintah Melaka pada ketika itu. Selain itu, raja Narasingha diangkat menjadi raja bagi kerajaan Keritang di Melaka namun baginda tidak dibenarkan bersemayam di negara baginda.

Sementara itu, pemerintahan kerajaan Keritang berjalan seperti biasa walaupun kerabat diraja berada di kerajaan Melaka. Pemerintahan dijalankan oleh Datuk Patih dan Datuk Temenggung Kuning sambil dibantu oleh menteri yang lain. Berlaku juga pertelingkahan di sana melibatkan hal agama kerana pegawai bawahan di bawah Datuk Patih ada yang menganuti agama Islam. Mereka dibenarkan berpindah masuk ke kawasan Datuk Temenggung Kuning. Keadaan ini menyebabkan Datuk Patih kehilangan pengikut manakala penganut Islam semakin ramai di kawasan beliau. Selain daripada itu, penduduk Indragiri pun terseksa akibat kekejaman dan ketidakadilan orang Melaka yang tinggal di kerajaan Keritang.

Raja Narasingha II yang mendengar hal ini berasa resah dan ingin pulang segera ke negara baginda. Baginda membuat alasan mahu ke kerajaan Keritang untuk berjalan-jalan bersama permaisuri baginda di sana lalu dibenarkan masuk ke sana oleh kerajaan Melaka. Raja Narasingha II mengambil kesempatan ini dengan sebaiknya dan menyusun langkah untuk membebaskan kerajaan Keritang dari cengkaman kerajaan Melaka. Berita terbebasnya kerajaan Keritang dari kerajaan Melaka ini tersebar dengan cepatnya.

C. Ibu Kota Kerajaan

Tindakan pertama yang diambil oleh baginda raja Narasingha II adalah memindahkan ibu kota kerajaan Keritang ke Pekan Tua berdekatan dengan Sungai Indragiri kerana kepercayaan bahawa tempat yang ditinggalkan tidak sesuai untuk dijadikan ibu kota kerajaan lagi. Selesai perpindahan itu, baginda dinobatkan menjadi raja di Pekan Tua. Bermula di Pekan Tualah kerajaan Keritang berubah menjadi kerajaan Indragiri dan baginda memakai gelaran Maulana Paduka Sri Sultan Alauddin Iskandar Johan Syah pada hari penobatan baginda. Berdasarkan gelaran ini, kelihatan baginda telah memeluk agama Islam pada ketika itu dan unsur Islam telah meresapi kerajaan baginda.

Pada awal pemerintahan kerajaan Indragiri juga, ibu kota berpindah lagi disebabkan kebimbangan diserang oleh Portugis dan gangguan penyamun. Ibu kota pun dipindahkan ke Mudoyan atau Kota Lama yang terletak kira-kira 50 km jauhnya dari ibu kota lama dengan menempuhi jalan darat. Sehingga ke zaman Sultan Ibrahim, ibu kota kerajaan Indragiri berada di Rengat kerana alasan diancam oleh kerajaan Belanda. Alasan yang selain itu, sebenarnya terdapat dana yang banyak sekali untuk pembinaan istana yang baru dan lebih megah berbanding sebelumnya.             

Rujukan