Tantra dikatakan bermula dengan Siva. Siva yang dimaksudkan di sini adalah Yang Maha Kuasa. Siva menurunkan tantra melalui para rishi dan pada zaman ini, upasana dewata atau mendekatkan diri dengan para dewa lebih berkesan jika dijalankan melalui upacara tantra.
Bagi persoalan sama ada tantra ini adalah amalan yang gelap atau cerah, Rajarshi Nandy menyatakan bahawa tiada istilah ini dalam tantra. Tantra hanya ada amalan yang berkesan atau tidak berkesan. Itu sahaja. Adakah tantra itu berkesan? Ya, ia adalah amalan yang berkesan. Adakah tantra itu menyebabkan timbulnya mara bahaya kepada sesiapa? Tidak, 99 peratus daripada amalan tantra langsung tidak membahayakan sesiapa. Dalam tantra yang dimaksudkan, seorang pengamal tantra yang tradisional hanya menjalankan upacara dewata upasana atau mendekati dewa dengan pelbagai kaedah.
Oleh kerana amalan tantra itu turun dari Siva, maka ia menjadi amalan yang diterima oleh orang. Bagi amalan tantra, ada barisan acharya atau guru yang menurunkan tradisi mereka pula. Dalam tantra pun ada juga pengelasan. Contohnya, terdapat tujuh acara atau mod tabiat. Mod tabiat yang paling asas sekali adalah vedacara iaitu kaedah pemujaan yang biasa dijalankan oleh orang awam. Bagi setiap acara yang dipenuhi oleh kita itu, maka alam semesta akan memberi panduan kepada kita untuk ke peringkat yang seterusnya yang mana pengetahuan dan tattva itu akan dijalinkan dalam kita, akal dan jasad.
Sesetengah orang itu, ketika berusia dalam lingkungan belia lagi pun tiba-tiba memperolehi pengetahuan kerohanian secara tiba-tiba. Mungkin mereka terdedah kepada amalan kerohanian itu daripada ibu bapa mereka, membaca buku kerohanian, dan keadaan ini selalunya terjadi mungkin kerana mereka itu membawa pengetahuan dari kelahiran lampau ke kelahiran ini. Mungkin pengetahuan itu sebenarnya dirujuk kembali oleh mereka. Selalunya juga seseorang itu mencapai kefahaman Plato disebabkan oleh pengetahuan dari kelahiran lampaunya. Adakah wajar untuk kita berpandangan begini?
Rajarshi Nandy berkata bahawa pada tahapnya, beliau bersetuju dengan pandangan ini. Beliau seterusnya menyatakan bahawa seseorang itu mungkin ingat-ingat lupa dengan pengetahuan yang telah pun mereka ada dan perlu menggilapnya kembali. Hal ini terjadi mungkin disebabkan oleh "maya" yang menjadi hijab atau tabir yang diletakkan pada ingatan kita. Jika seseorang itu mengingat segalanya, maka dia tidak akan dapat berfungsi dengan baik pada tahap awal dalam kalangan masyarakat. Sehingga seseorang itu mencapai tahap kerohanian yang tinggi, maka mereka perlu terus menggilapnya. Namun, pengetahuan lampau mengenai kerohanian ini mungkin tersimpan di mana-mana dalam ingatan orang itu. Samskara atau kecenderungan seseorang itu akan memandu orang itu ke arah jalan kerohanian. Amalan yang merupakan sebahagian daripada proses itu sangat penting. Sama ada seseorang itu mengamalkan ajaran tantra atau pun yoga, dia perlulah mengikut aturannya dengan penuh disiplin dan dedikasi. Orang yang berdisiplin sebenarnya akan berjaya. Bukannya orang yang berpengalaman.
Jadi berbalik kepada vedacara sebagai asas, ia kemudian akan diikuti oleh sivacara, vaisnavacara, daksinacara dan sebagainya pula. Daksinacara adalah tantra yang rasmi. Keperluan untuk menjalani daksinacara adalah melalui upacara kenaikan atau diksha. Jadi seorang pengamal tantra perlu mempunyai seorang guru yang akan membawanya naik ke dalam upacara yang akan diamalkan nanti. Dalam daksinacara, terdapat kaedah amalan seperti pembacaan mantra, upasana, amalan suddhi atau penyucian tempat menjalani amalan yang diajarkan oleh guru.