Kemunculan Ilmu Hitam

Ranveer turut meminta penjelasan dari Nandy berkenaan ilmu hitam. Apakah itu tenaga gelap? Apakah kegelapan?

Nandy menjelaskan bahawa dunia ini akan sentiasa berada dalam dua keadaan iaitu cerah dan gelap. Pasti ada baik dan pasti ada buruk. Jadi, istilah ilmu hitam yang anda ingin ketahui itu digelar sebagai avicara kriya dalam bahasa Sanskrit. Ia bermaksud sesuatu yang menghasilkan kesan buruk atau negatif. Jadi, dari manakah munculnya avichara kriya ini? Nandy memberikan satu contoh, seorang pekerja pejabat bekerja dengan seorang majikan dan beberapa orang rakan pejabat. Dalam pada itu, terdapat politik dalam pejabat pula dan orang itu tak suka seseorang di pejabat. Lalu muncullah pemikiran bahawa dia tidak suka kepada orang itu dan berharap dia berambus hilang dari pejabat itu. Pada saat orang itu berfikiran sedemikian, maka ilmu hitam sudah pun muncul di situ.

Jadi, bagaimana pula tantra berada dalam hal ini? Tantra sebenarnya adalah satu cara untuk memuja dewata yang sesuai dengan zaman kali yuga. Sedangkan veda pula lebih banyak cenderung kepada zaman satya yuga yang pada ketika itu kurang berlakunya kejahatan. Tantra ini mempersembahkan peluang kepada seorang pemuja dewata yang tidak kira apa sekalipun niatnya, akan sentiasa wijaya. Jika niatnya baik, maka hasilnya baik. Jika niatnya buruk, maka hasilnya adalah tanggungjawab pengamal tantra itu sendiri. Tantra tidak menetapkan jenis niat kepada pengamalnya, kerana ia bergantung kepada si pengamal itu sendiri.

Tantra ini dari segi teknikalnya boleh diibaratkan seperti pisau atau pedang. Apabila ia digunakan untuk memotong sayur dan memasak, maka kita boleh makan dan tidak lapar. Jika kita gunakannya untuk membunuh, maka kita pun telah menghapuskan satu makhluk yang lain. Secara falsafahnya pula, tantra ini adalah satu bentuk pemujaan dewata yang akan membawa pemuja dewata itu ke tahap yang tinggi.