Raja-raja pewaris selepas Huntien termasuklah Hun Panhuang, Panpan dan Fan Shih Man, "Maharaja Agung Funan", yang "menitahkan pembinaan kapal-kapal besar dan belayar ke seluruh samudera luas menyerang lebih daripada 10 buah kerajaan ... memperluas rantaunya sehingga lima ke enam ribu li lagi." Fan Shih Man mangkat dalam kempen ketenteraan ke Chin Lin, "Sempadan Emas". Baginda kemudian diwarisi oleh Chin Cheng, Fan Chan, Chang dan kemudian Fan Xun, dalam peristiwa pembunuhan yang berturut-turut. Selepas kemangkatan baginda, Fan Chan menghantar rajaduta ke benua India dan benua China pada tahun 243 M.
Pada tahun 245 M, Funan digambarkan sebagai "kampung-kampung bertembok, istana dan penempatan. Mereka menjalankan kegiatan pertanian ... mereka mengukir bahan hiasan dan membuat seni pahatan. Ramai dalam kalangan mereka menggunakan perkakas perak untuk meletakkan makanan. Cukai dibayar dalam bentuk emas, perak, mutiara, dan wangian. Terdapat juga kitab-kitab dalam bentuk daun lontar dan arkib simpanan daun lontar serta banyak lagi benda." Pemerintah yang berbudaya Hindu bernama Chantan memerintah pada tahun 357 M diikuti oleh raja Hindu lain iaitu Chiao Chen Ju (Kaundinya) dalam abad ke-5 M, yang "merubah semua undang-undang bagi menepati tatasusunan di benua India."
Pada tahun 480 M, Sheyehpamo atau Jayavarman, "Perintis Wijaya" menaiki takhta sehingga kemangkatan baginda pada tahun 514 M. Salah seorang daripada anakanda baginda, Rudravarman membunuh seorang lagi anakanda baginda bernama Gunavarman lalu menaiki takhta dan menjadi raja terakhir di Funan.
Funan mencapai kegemilangannya di bawah pemerintahan raja Fan Shiman pada abad ke-3 M. Baginda memperluas tentera laut empayarnya dan memperbaiki birokrasi Funan. Seterusnya, baginda membangunkan corak pentadbiran yang menyerupai feudalisme yang mengikat adat tempatan dan jati diri masing-masing khususnya apabila empayar itu meluas. Fan Shiman dan pengganti baginda menghantar rajaduta ke benua China dan India bagi melicinkan urusan perdagangan laut. Kerajaan Funan juga nampaknya mempercepat lagi proses kehinduan di Asia Tenggara. Kerajaan-kerajaan seterusnya di Asia Tenggara seperti kerajaan Chenla mungkin meniru sistem dalam istana Funan. Kerajaan Funan mengasaskan sistem perdagangan dan monopoli perniagaan yang menjadi corak ekonomi di empayar-empayar di rantau Asia Tenggara.
Kebergantungan Funan kepada perdagangan melalui jalan laut dilihat menjadi permulaan kepada kejatuhan Funan. Pelabuhan-pelabuhan pantai mereka membenarkan perdagangan dengan rantau asing yang menghantar bahan dagangan kepada penduduk di utara dan pesisir pantai. Walau bagaimanapun, perubahan perdagangan kelautan ke Sumatera, kemunculan empayar perdagangan Srivijaya di selatan dan pengambilan laluan perdagangan di seluruh Asia Tenggara oleh benua China, membawa kepada ketidakstabilan ekonomi di selatan serta memaksa kuasa politik serta ekonomi naik ke utara.
Funan kemudian diambil alih dan diserap oleh pemerintahan Khmer iaitu kerajaan Chenla pada abad ke-6 M. "Raja menubuhkan ibu kota baginda di kota T'e-mu. Tiba-tiba sahaja ia ditawan oleh Chenla dan baginda raja terpaksa berhijrah ke selatan di kota Nafuna atau dalam bahasa Cina Pertengahannya, Nâ-piiidt-nâ."
Kitab Sui yang dikumpulkan pada tahun 636 M menyatakan bahawa, "Kerajaan Chenla terletak di barat daya Linyi pada asalnya adalah negeri bawahan kepada Funan ... Nama keluarga [bekas] raja adalah dari puak Cha-li; baginda raja mempunyai nama sendiri iaitu 質多斯那 Zhiduo Sina. Nenek moyang baginda sedikit demi sedikit menjadi berkuasa dan mencapai kegemilangan hinggalah pada zaman Zhiduo Sina sendiri di mana baginda menawan Funan dan menyerapnya masuk ke kerajaan baginda."
Kitab Baru Tang kira-kira 1060 M memberitahu bahawa "伊奢那先代 Yīshēnàxiāndài, anakanda kepada Chitrasena Mahendravarman, mengalahkan Funan lalu menakluki wilayah-wilayah Funan bermula era Zhenguan (627 - 649) semasa pemerintahan maharaja Taizong dari dinasti Tang di benua China."
Prasasti pertama dalam bahasa Khmer bertarikh tidak lama selepas kejatuhan Funan muncul. Kebanyakan prasasti berbahasa Khmer kemudiannya ditemui di selatan Kemboja mencadangkan bahawa kewujudan awal rakyat berbangsa Khmer di situ. Walaupun tiada bukti yang jelas mengenai bangsa atau suku kaum rakyat di Funan, namun sarjana moden seperti Michael Vickery dalam "Funan Reviewed: Deconstructing the Ancients" pada muka surat 125 menyatakan bahawa, "bukti yang ada menunjukkan bahawa mustahil untuk menegaskan yang kawasan Funan sebagai satu kawasan dengan kelompok majoritinya itu tidak lain dan tidak bukan adalah bangsa Khmer sendiri".
Negeri-Negeri Sisa Funan
Menurut sejarawan British seperti Robert Nicholl dalam karya beliau berjudul "Brunei Rediscovered: A Survey of Early Times" pada muka surat 35 memetik Ferrand dari "Relations" muka surat 564 - 565 terbitan Tibbets menyatakan bahawa, "apabila kerajaan Funan jatuh disebabkan oleh penaklukan Khmer, semasa tahun 680 M, dinasti Sailendra dari Funan telah mendirikan negeri-negeri sisa di kerajaan-kerajaan kecil di Sarawak di Borneo sepanjang Laut China Selatan. Nicholl turut mencadangkan hubungan darah antara suku kaum Visayan di Filipina dengan Vijaya di Sarawak yang sekaligus menghubungkan mereka ini dengan rakyat Funan dan juga empayar Srivijaya.
Warisan Funan
Kerabat diraja di Funan digelar sebagai "Raja di Pergunungan". Terdapat gunung yang dipandang sebagai suci dan perkataan gunung dalam bahasa Khmer hampir sama bunyinya dengan perkataan Funan.
Walau bagaimanapun, dinasti Sailendra yang berpusat di Jawa Tengah juga mendakwa bahawa kerabat diraja Funan sebagai nenek moyang mereka. Kemboja telah dikuasai semula selepas raja Jayavarman II tinggal sebentar di Jawa. Sumber rujukan ini boleh didapati dalam Greater India Society (1934) muka surat 69 dalam Journal.
Selain daripada itu, sumber rujukan seperti "Brunei: From the Age of Commerce to the 21st Century" oleh Marie-Sybille de Vienne (2015) dan Graham Saunders (2013) dalam "A History of Brunei" menyebut bahawa "Raja-Raja Pergunungan" turut dituntut sebagai cikal bakal bagi Kesultanan Melaka dan Kesultanan Brunei.