Kebangkitan Kembali Ajaran Buddha

Pada abad ke-19 dan abad ke-20, penganut Buddha aliran Theravada mula bertembung dengan pelbagai ideologi barat, agama dan juga sains moden. Pelbagai maklum balas kepada pertembungan ini digelarlah sebagai "Pemodenan Penganut Buddha".

Di jajahan British seperti Ceylon (kini Sri Lanka), dan Burma (kini Myanmar), institusi Buddha telah hilang peranan tradisionalnya sebagai pusat pendidikan utama kerana peranan tersebut telah diisi oleh sekolah mubaligh Kristian pula. Sebagai tindak balas kepada hal ini, pertubuhan penganut Buddha telah diasaskan dan memelihara kesarjanaan Buddha serta memberikan pendidikan ajaran Buddha kepada penganutnya. Contoh pelopor pendidikan Buddha yang menyuburkan kembali ajaran Buddha di jajahan British seperti di Ceylon ialah Anagarika Dhammapala, Migettuwatte Gunananda Thera, Hikkaduwe Sri Sumangala Thera dan Henry Steel Olcott yang merupakan antara warganegara Amerika Syarikat terawal menganuti ajaran Buddha. Dua aliran biara juga dibentuk di Ceylon pada abad ke-19 iaitu Amarapura Nikaya dan Ramanna Nikaya.

Sementara itu, tokoh pemodenan yang berpengaruh di Burma pula ialah Raja Mindon Min (1808 - 1878). Baginda dikenali dengan perlindungan dan sokongan baginda kepada Majlis Penganut Buddha Kelima (1871) dan Papan Tripitika yang bertujuan untuk memelihara Buddha Dhamma di Candi Kuthodaw. Burma juga menyaksikan perkembangan "Pergerakan Vipassana" yang menumpukan kepada usaha menghidupkan kembali samadhi Buddha dan pengajaran doktrin Buddha. Ledi Sayadaw (1846 - 1923) menjadi salah seorang daripada pelopor dalam pergerakan itu. Selepas mencapai kemerdekaan, Myanmar menganjurkan Majlis Penganut Buddha Keenam yang bermula pada Wesak 1954 dan berakhir pada Wesak 1956 bagi menyemak semula sastera Pali. Selepas itu, ia diterbitkan sebanyak 40 bilangan semuanya oleh pemerintah Myanmar. Pergerakan Vipassana ini terus berkembang selepas kemerdekaan dan ia menjadi antara pergerakan antarabangsa yang mempunyai pusat samadhi di seluruh dunia. Antara guru samadhi yang terkemuka pasca kemerdekaan Myanmar termasuklah U Narada, Mahasi Sayadaw, Sayadaw U Pandita, Nyanaponika Thera, Webu Sayadaw, U Ba Khin dan pelajar beliau, S. N. Goenka. 

Pancang (Buddha Dhamma)