Kaitan Keyakinan dan Penangkis Ilmu Hitam

Selanjutnya, Ranveer bertanya, "adakah keyakinan yang mendalam dan teguh seseorang itu dapat membersihkan ilmu hitam yang ditujukan kepadanya?" Rajarshi menjawab bahawa seseorang itu mungkin boleh menangkis ilmu hitam daripada menyentuh dirinya jika dia adalah seorang yang suci. Namun, hal tersebut pun sebenarnya tiada jaminan yang pasti. 

Rajarshi juga memberikan persoalan kembali, jika seseorang itu adalah bhakta atau pemuja tegar seseorang dewata, adakah hal itu menjadi jaminan bahawa dia akan bebas daripada kemalangan, menghidapi demam atau selesema? Sesiapa sahaja dalam kalangan bhakta itu, adakah mereka boleh memberikan jaminan bahawa dia tidak akan ditimpa sebarang penyakit atau bala? Selagi mana seseorang itu mempunyai jisim berjasad dan mempunyai minda, maka dia akan mengalami kesakitan atau kecederaan sama ada secara jasadi atau rohani. Selain itu, manusia juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan kerohanian. Mustahil manusia dalam dunia ini tidak melakukan kesilapan dari segi rohani, maksudnya di sini mungkin dosa. 

Kita mungkin membaca kisah-kisah orang suci atau para wali keramat dalam bahasa orang Arab. Kisah mereka itu sungguh mulia dan mereka dihormati. Namun, mereka juga mengalami pertarungan dan berjuang dengan kegelapan. Hal ini adalah normal saja kerana sebaik saja kita dilahirkan, maka kita tidak terkecuali daripada melalui segala keretakan atau pergeseran dalam dunia.

Jadi, kembali semula ke persoalan, adakah seseorang itu boleh dicederakan oleh ilmu hitam? Jawapannya, ya seseorang itu boleh dicederakan oleh ilmu hitam. Jika si pelaku ilmu hitam itu mempunyai kebaktian yang tinggi, maka saktinya akan terkumpul dan dia boleh menjalankan tuju-tuju. Namun kebaktian tidak semestinya mempunyai jaminan kepada keupayaan sakti atau kuasa dan gyan atau ilmu. Jadi analoginya di sini, ilmu itu dicerminkan oleh mantra, tahap kekuatan itu dibayangkan oleh sakti dan keyakinan pula diwakili oleh bhakti.