Jenis-Jenis Dosa dalam Ayurveda

Berdasarkan kepada amalan Ayurveda berabad-abad lamanya, pengamal Ayurveda mentakrifkan dosa seseorang itu berdasarkan kepada ciri fizikal, emosi, mental dan tabiat. Berikut adalah pandangan keseluruhan mengenai dosa-dosa ini.

A. Vata

Vata selalunya mengandungi dua elemen udara dan angkasa. Ia umumnya dijelaskan sebagai sejuk, ringan, kering, kasar, mengalir dan luas. Musim luruh mewakili vata kerana hari-harinya yang sejuk dan mersik.

Mereka yang memiliki dosa vata ini digambarkan sebagai kurus, bertenaga dan kreatif. Mereka selalunya berfikir di luar kotak namun tumpuan mereka mudah tergugat. Angin mereka sangat bergantung kepada cuaca, orang di sekeliling mereka dan makanan yang mereka makan.

Kekuatan: cepat belajar, sangat kreatif, boleh membuat banyak pekerjaan dalam satu masa, baik hati, fleksibel, mudah serasi dan secara semulajadinya bertubuh kurus.

Kelemahan: mudah lupa, sering gelisah, angin yang tidak stabil, cepat sedih, sangat sensitif terhadap persekitaran sejuk, sukar tidur, selera dan corak pemakanan yang tidak teratur, mudah terdedah kepada penyakit melibatkan pencernaan dan angin serta peredaran darah yang lemah (tangan dan kaki sejuk).

Menurut Ayurveda, seseorang yang tinggi kandungan vata dalam dirinya haruslah mengikuti rutin harian yang biasa, menguruskan tekanan menerusi samadhi dan kegiatan lain yang menenangkan, mengekalkan suhu badan yang selesa dengan mengelakkan cuaca sejuk, memakan makanan yang panas dan minuman yang panas supaya kesihatan terus dipelihara.

B. Kapha

Kapha didasarkan kepada bumi dan air. Ia boleh dijelaskan sebagai mantap, stabil, berat, perlahan, sejuk dan lembut. Musim bunga dikenali sebagai musim kapha kerana kebanyakan rantau dunia keluar dari tidur panjang secara perlahan-lahan.

Mereka yang mempunyai dosa kapha dalam diri mereka digambarkan sebagai kuat, bertulang tebal dan bersikap mengambil berat akan persekitarannya. Mereka dikenali sebagai orang yang menjaga persekitaran mereka dan menjadi penyokong kepada orang yang lain. Mereka yang tinggi kandungan kapha dalam dirinya ini jarang bersedih, berfikir sebelum bertindak dan menjalani kehidupan secara perlahan serta teliti.

Kekuatan: mempunyai empati, mengambil berat, mudah percaya, tenang, bijaksana, gembira, romantik, tulang dan sendi yang kuat serta sistem ketahanan badan yang sihat.

Kelemahan: mudah naik berat badan, metabolisme yang rendah, lembap, terlebih tidur, masalah melibatkan pernafasan seperti lelah atau alahan, risiko tinggi menghidapi sakit jantung, hingus yang banyak, mudah menghidapi kemurungan, perlu motivasi serta galakan selalu.

Seseorang yang mempunyai kandungan kapha yang tinggi dalam dirinya harus menumpukan kepada senaman yang malar, pemakanan yang sihat, mengekalkan suhu badan selesa contohnya seperti makan makanan panas atau duduk dalam sauna serta membiasakan diri tidur pada waktu yang sama setiap hari.

C. Pitta

Pitta selalunya dikaitkan dengan orang yang berperibadi tekun. Ia didasarkan kepada api dan air. Pitta digambarkan sebagai panas, ringan, tajam, berminyak, cecair dan bergerak. Musim panas dikenali sebagai musim pitta kerana ia cerah dan panas.

Orang yang mempunyai kandungan pitta tinggi dalam dirinya selalunya bertubuh padan berotot, tubuh atlet dan sering menjadi pemimpin yang kuat. Mereka mempunyai motivasi tinggi, cenderung bermatlamat dan berdaya saing. Walau bagaimanapun, ciri tekun dan agresif mereka boleh menyebabkan orang rasa menyampah dan menyebabkan pertelingkahan.

Kekuatan: cerdik, mempunyai tujuan jelas, belajar cepat, bermotivasi, boleh bergerak sendiri, menguasai kemahiran dengan pantas, keinginan berjaya yang tinggi, pemimpin semulajadi, metabolisme tinggi, peredaran darah yang baik, kulit dan rambut yang sihat.

Kelemahan: kurang sabar, mudah terlibat dalam pertelingkahan, selalu lapar, angin tidak menentu apabila lapar, mudah berjerawat dan menghidapi keradangan kulit. Selain itu, sensitif terhadap cuaca panas.

Orang yang mempunyai kandungan pitta yang tinggi dalam diri haruslah menumpukan kepada kehidupan yang seimbang dengan kerja dan mengelakkan haba yang melampau contohnya tidak memakan makanan pedas atau berjemur di bawah matahari terik.

Rujukan