Berkenaan dengan ishta devata, ia tidak semestinya khusus kepada penganut Hindu sahaja. Bergantung kepada fasa kehidupan, Ranveer percaya bahawa ishta devata seseorang itu boleh berubah bergantung kepada keperluan semasa seseorang. Adakah Rajarshi Nandy percaya begitu?
Menurut Rajarshi Nandy, keadaan yang disebutkan oleh Ranveer itu sebenarnya membawa maksud bahawa orang itu masih belum lagi bertemu dengan ishta devata nya. Sebenarnya, hal ini bukanlah satu masalah pun. Kita mula memuja sesuatu dewata itu, dengan kecenderungan bahawa ia disukai oleh kita. Biasanya kecenderungan ini boleh jadi juga datang dari keluarga. Jika sesuatu dewa itu dipuja oleh keluarga seseorang, boleh jadi seseorang itu juga akan memperkembang rasa suka kepada dewata tersebut. Contohnya, Hanuman merupakan dewata yang terkenal di India Utara. Jadi, ramai penduduk di India Utara akan bersumpah dengan nama Hanuman. Mereka pun lebih berkebaktian kepada Hanuman berbanding dengan kepada Rama. Jadi, definisi yang ringkas sekali bagi ishta devata ini adalah seseorang yang kamu suka. Apabila seseorang itu menyukai dewata tertentu, maka dia akan sendirinya memperkembang kebaktian kepada dewata tersebut dalam tahap-tahap sadhana nya.
Rajarshi Nandy memberikan contoh, perasaan suka kepada dewata itu boleh dilihat sebagai tahap tadika. Daripada tahap tadika nanti, seseorang itu akan naik menjadi seorang upasaka. Upasaka ini membawa maksud seseorang itu berkemampuan untuk mendapatkan maklum balas daripada dewata tertentu yang dipuja olehnya. Tahap terakhirnya nanti akan sampai apabila orang yang memuja dewata itu boleh melihat dewata itu sendiri, berbual dengan dewata dan berhubung dengan dewata itu sendiri. Bagi tahap yang paling tinggi ini, tidak semua orang boleh melakukannya. Ia juga bukan perkara yang mudah untuk dicapai oleh sesiapa.
Dari segi penentuan ishta devata seseorang pula, hanya guru yang boleh memberitahu perihal ini. Terdapat perkara yang kalau kita tahu pun tetapi kita tak perlu beritahu sesiapa kerana ia adalah tugas alam semesta bukan tugas manusia biasa. Rajarshi Nandy juga menjelaskan mengenai konsep dalam upasana iaitu adhikara, hak untuk bercakap mengenai sesuatu perkara.