Pelayar Austronesia dari Kepulauan Asia Tenggara pertama kalinya merintis perhubungan dan perdagangan dengan India Selatan serta Sri Lanka iaitu seawal tahun 500 SM. Hal ini membawa kepada pengenalan budaya kebendaan dari Asia Tenggara yang melibatkan kelautan seperti perahu layar, sampan, dan perahu buritan berjahit. Selain itu, mereka memperkenal sirih pinang, kelapa, cendana, pisang dan tebu di benua kecil India serta menjadi penghubung antara benua India dan benua China di lautan.
Laluan awal perdagangan orang Austronesia ini menghubungkan Asia Tenggara Kepulauan dengan benua kecil India serta menjadi aspek maritim yang memperluas lagi jaringan perdagangan rempah di situ. Laluan ini kemudian digunakan juga oleh orang Tamil dan orang Arab purba dalam perdagangan maritim. Perhubungan yang berterusan antara Asia Selatan dengan Asia Tenggara ini menyebabkan berlakunya pertukaran kebudayaan selain daripada pertukaran bahan komoditi dalam perdagangan.
- Tanah Besar Asia Tenggara
- Kepulauan Asia Tenggara
Kerajaan yang bercorak India terawal muncul di Sumatera dan Jawa, diikuti dengan politi di tanah besar Asia Tenggara seperti Funan dan Champa. Penerimaan mereka terhadap elemen tamadun India purba dan penyesuaian individu antara kebudayaan ini menjana kemunculan negara kota yang berpusat serta sistem jati atau susunan masyarakat yang bercorak tempatan di Asia Tenggara.