Etimologi Perkataan Srivijaya

Srivijaya jelasnya mempunyai bunyi dari terbitan bahasa Sanskrit, Śrīvijaya dengan Śrī bermaksud bertuah, makmur atau bahagia serta sering dikaitan dengan dewata sekurang-kurangnya dalam kepercayaan Brahmana. Manakala, Vijaya membawa maksud keunggulan atau kejayaan. Apabila kedua-dua perkataan ini digabungkan menjadi maka ia membawa maksud "kejayaan gilang gemilang" atau"pemenang yang makmur" atau "sinaran yang unggul".

Sejarawan abad ke-20 yang mengkaji prasasti di Sumatra dan kepulauan di sekitarnya memikirkan bahawa istilah, "Srivijaya" ini merujuk kepada nama seorang raja. Pada tahun 1913, H. Kern menjadi ahli epigrafi pertama yang mengenalpasti nama "Srivijaya" dalam Prasasti Kota Batu Kapur bertarikh abad ke-7 masihi. Prasasti ini ditemui pada tahun 1892. Walau bagaimanapun, ketika itu beliau percaya bahawa perkataan Srivijaya ini merujuk kepada seorang raja, yang mungkin bernama Vijaya dengan Sri itu berfungsi sebagai gelaran penghormatan untuk seorang raja pemerintah.

Manuskrip Carita Parahyangan berbahasa Sunda yang dikarang sekitar lewat abad ke-16 masihi di Jawa Barat menyebut bahawa, "Sang Sri Wijaya". Manuskrip ini menjelaskan mengenai seorang wira diraja yang bangkit menjadi seorang raja bernama Sanjaya yang setelah berjaya memegang tampuk pemerintahan di Jawa, terlibat pula dalam peperangan dengan Malayu dan Keling, menentang raja mereka Sang Sri Wijaya.

Selepas beberapa pengkajian prasasti tempatan, manuskrip dan catitan sejarah China, sejarawan menyimpulkan bahawa istilah "Srivijaya" ini adalah satu rujukan kepada satu politi atau entiti politik yang membentuk satu kerajaan. Kebimbangan utama untuk mendefinisikan kenegaraan Srivijaya sebagai kerajaan talasokrasi atau kelautan ini adalah disebabkan oleh ketiadaan struktur yang jelas mengenai bagaimana ia menguasai kota pelabuhan di kawasan lautan Asia Tenggara. Sama ada mereka membentuk satu konfederasi atau gabungan negeri yang separa autonomi atau sebaliknya.