Dharmasraya adalah ibu kota kepada sebuah entiti politik yang menganuti ajaran Buddha dikenali sebagai Kerajaan Melayu, yang bermula dari sistem Sungai Batanghari di Sumatra Barat dan Jambi dalam negara Indonesia pada zaman moden. Kerajaan ini juga dikenali dengan nama ibu kotanya sendiri iaitu Dharmasraya atau dengan nama Bhumi-Malayu atau Suvarnabhumi menurut kepada Prasasti Padang Roco.
Pembentukan Ibu Kota Melayu
Selepas penaklukan oleh Raja Rajendra Chola I, raja di empayar Chola dari Pantai Koromandel, penguasaan dinasti Sailendra di seluruh Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu mula melemah. Beberapa lamanya muncul pula dinasti baru yang mengambil alih peranan dinasti Sailendra iaitu dinasti Mauli. Kerajaan Melayu yang berpusat di Dharmasraya ini dianggap sebagai penerus kepada warisan Srivijaya.
Prasasti tertua sekali yang mengandungi nama Maharaja Mauli adalah Prasasti Grahi yang bertarikh 1183 masihi ditemui di Chaiya yang kini berada dalam wilayah Surat Thani, Selatan Thailand. Prasasti ini membawa perintah Maharaja Srimat Trailokyaraja Maulibhusanavarmadeva kepada bhupati baginda di Grahi yang bernama Mahasenapati Galanai supaya didirikan rupa Buddha dengan berat 1 bhara 2 tula bernilai 10 tamlin emas. Selain itu, prasasti tersebut juga mencatitkan nama tukang rupa Buddha itu iaitu Mraten Sri Nano.
Prasasti kedua dari dinasti Mauli pula muncul kira-kira 100 tahun kemudian dalam tahun 1286 masihi. Ia dikenali sebagai Prasasti Padang Roco yang mencatitkan nama Dharmasraya dan nama raja Srimat Tribhuvanaraja Maulivarmadeva, diperkirakan memerintah pada abad ke-13 masihi. Prasasti ini ditemui di sekitar cawangan Sungai Batanghari yang kini berada dalam kabupaten Dharmasraya di Sumatra Barat.