Brahmanisme atau Brahminisme atau agama Hindu Brahman, berkembang dari agama Veda, menjalinkan buah fikiran bukan Veda dan berkembang ke rantau yang di luar daripada barat laut benua kecil India ke lembah Ganges. Michael Witzel (1995) dalam "Early Sanskritization: Origin and Development of the Kuru state" menyatakan bahawa Brahmanisme termasuklah badan agama Veda dan juga sastera pasca Veda seperti Dharmasutra serta Dharmasastra menimbulkan kelompok seperti Brahmana atau Brahmin dalam susunan masyarakat.
Selain itu, Heesterman menerusi Michael Witzel menyatakan bahawa sastera pasca Veda seperti sastera Smriti yang terdiri daripada Purana dan Itihasa, turut dijalinkan dalam tradisi Smarta yang muncul kemudian. Penekanan kepada upacara dan kedudukan para Brahmana yang berkuasa itu berkembang sebagai satu ideologi dalam alam Kuru-Panchala. Ia seterusnya berkembang ke rantau yang lebih luas selepas kejatuhan kerajaan Kuru-Panchala serta seterusnya ia diserap ke dalam empayar yang berdasarkan kepada empayar Magadha. Di samping itu, ia wujud bersama dengan agama-agama tempatan seperti pemujaan Yaksha.
Selanjutnya, perkataan Brahmanisme ini dicipta oleh Goncalo Fernandes Trancoso (1520 - 1596) pada abad ke-16 M. Dari segi sejarah, perkataan ini digunakan dan juga masih lagi digunakan oleh penulis moden dalam bahasa Inggeris untuk merujuk kepada agama Hindu. Mereka menganggapnya sebagai sinonim kepada Hinduisme serta digunakan secara selang seli.
Michael S. Allen mengkritik penggunaan istilah "Brahminisme" untuk merujuk kepada "tradisi Veda yang lebih besar". Beliau membahaskan bahawa ia mengkaburkan sumbangan golongan bukan Brahmana atau bukan Brahmin dalam tradisi ini. Pada abad ke-18 dan abad ke-19 M, Brahminisme menjadi istilah umum yang digunakan dalam bahasa Inggeris untuk merujuk kepada Hinduisme. Brahminisme memberikan penekanan kepada dugaan atau spekulasi mengenai kewujudan Sang Brahman atau Hakikat Mutlak dalam Upanishad awal kerana istilah ini secara etimologinya berkait yang berkembang daripada buah fikiran pasca Veda semasa zaman Veda lewat. Konsep Brahman ini dicadangkan sebagai wujud sebelum penciptaan alam semesta yang membentuk semua kewujudan yang selepasnya dan ke dalamnya juga alam semesta dileraikan, diikuti dengan putaran-putaran penciptaan, pemeliharaan dan kemusnahan yang tidak pernah berkesudahan.
Zaman pasca Veda dalam Perbandaran Kedua menyaksikan kejatuhan Brahmanisme. Dengan meningkatnya kewujudan entiti politik yang mengancam pendapatan dan perlindungan Brahmin di pedalaman termasuklah ancaman dari pergerakan Shramana, penaklukan empayar timur dari kerajaan Magadha termasuklah Empayar Nanda dan Empayar Maurya serta penaklukan dan pemerintahan asing di barat laut benua kecil India yang membawa kepada kemunculan entiti politik baru.
Hal ini seterusnya diatasi dengan penyediaan perkhidmatan baru yang menjalinkan warisan keagamaan Indo Arya yang bukan berdasarkan kepada kitab suci Veda di Lembangan Ganges Timur dan tradisi keagamaan tempatan menimbulkan pula Hinduisme yang baru. Hinduisme baru ini menarik perhatian para pemerintah yang tertarik dengan kesaktian dan nasihat amali yang boleh diberikan oleh para Brahmin. Hasilnya, pengaruh Brahmin naik semula dan menguasai masyarakat di benua kecil India sejak Zaman Klasik Hinduisme pada awal abad Masihi.
Penggunaan Moden Brahmanisme
Kini, istilah Brahmanisme digunakan berselang seli dengan istilah Brahminisme serta digunakan dalam pelbagai cara pula. Ia menandakan upacara Brahmana yang khusus dan pandangan dunia yang terpelihara dalam upacara Shrauta, berbeza pula dengan sejumlah kegiatan pemujaan terkenal yang kurang pula kaitannya dengan upacara Shrauta.
Istilah ini juga digunakan dari segi sosio politik terutamanya dalam perbincangan mengenai anti kasta atau pertentangan terhadap jati, berikutan garisan besar kritikan terhadap Brahminisme pada abad ke-19 M. B. R. Ambedkar dan pembaharu Hindu menyusun kritikan mereka dalam penentangan terhadap kedudukan Brahmin yang menguasai masyarakat dengan menyatakan bahawa kedudukan tersebut diperolehi Brahmin semasa zaman penjajahan British.