Benua Kecil India

Benua kecil India adalah merupakan rantau fisiografi di Asia Selatan yang kebanyakannya terletak di antara Plat India, mengunjur ke selatan sehingga ke Lautan Hindi dari Himalaya. Dari segi geopolitik, ia mengandungi daratan besar yang terbahagi kepada beberapa negara seperti Bangladesh, Bhutan, India, Maldives, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka.

Walaupun istilah "Benua Kecil India" dan "Asia Selatan" ini sering diguna pakai secara berganti-ganti untuk merujuk kepada rantau ini, namun istilah geopolitik Asia Selatan ini selalu juga memasukkan Afghanistan sebagai sebahagian daripadanya walaupun ia tidak dianggap sebagai sebahagian daripada benua kecil itu.

Dari segi geologi, benua kecil ini berasal dari Hulu India, setompok tanah yang terasing dan terpecah dari Benua Besar Gondwana semasa Era Kapur (Cretaceous) lalu bergabung dengan tompokan tanah Eurasia hampir 55 juta tahun yang lampau sebelum membentuk Himalaya.

Dari segi sejarah dan juga kini, benua kecil India ini dihuni oleh ramai manusia dan menampung sekurang-kurangnya 20-25% populasi global pada satu-satu masa. Secara geografinya, benua kecil India adalah rantau semenanjung di Selatan Asia yang terletak di bawah Kutub Ketiga, disempadani oleh Himalaya di utara, Hindu Kush di barat, dan Banjaran Indo-Burma di timur. Rantau geografi yang berjiran dengannya pula termasuklah Dataran Tinggi Tibet di utara, Semenanjung Indochina di timur dan Dataran Tinggi Iran di barat serta Lautan Hindi di sebelah selatannya.