Bahasa Sanskrit Sepintas Lalu


 
Bahasa Sanskrit umumnya menandakan kepelbagaian dalam bahasa Indo-Arya Lama. Bentuk paling purba bagi bahasa Sanskrit adalah bahasa Sanskrit Veda yang ditemui dalam kitab suci Rgveda, iaitu himpunan 1,028 seloka yang dikarang antara 1500 SM dan 1200 SM oleh puak Indo-Arya yang berhijrah ke timur dari rantau Afghanistan kini merentasi utara Pakistan ke India Utara.
 
Penutur bahasa Sanskrit Veda berinteraksi dengan penutur bahasa-bahasa purba yang telah wujud di benua kecil India lalu menyerap nama-nama tumbuhan dan haiwan yang baru mereka temui ke dalam bahasa mereka. Tambahan lagi, penutur bahasa Dravidia Purba turut mempengaruhi fonologi dan sintaks bahasa Sanskrit. Bahasa "Sanskrit" boleh juga secara sempitnya dirujuk sebagai bahasa Sanskrit Klasik, iaitu bentuk yang telah digilap dan diselaraskan tatabahasanya yang muncul sekitar pertengahan abad pertama milenium sebelum masehi. Ia dikanunkan dalam tatabahasa purba yang paling komprehensif sekali dikenali sebagai Ashtadhyayi atau Lapan Bab yang dikarang oleh Panini.
 
Ahli drama terkenal dalam bahasa Sanskrit bernama Kalidasa menulis karya beliau dalam bahasa Sanskrit Klasik dan asas kepada aritmetik moden juga pertama kalinya dijelaskan dalam bahasa Sanskrit Klasik. Dua epik bahasa Sanskrit terkenal iaitu Mahabharata dan Ramayana dikarang dalam bentuk daftar penceritaan atau disebut juga sebagai bahasa Sanskrit Epik yang digunakan di India Utara antara tahun 400 SM dan 300 SM. Secara kasarnya, bahasa Sanskrit Epik adalah merupakan kontemporari kepada bahasa Sanskrit Klasik. Pada abad seterusnya, bahasa Sanskrit mula dikekang oleh tradisi dan tidak lagi dipelajari sebagai bahasa pertama. Akhirnya, ia berhenti berkembang sebagai bahasa yang hidup.
 
Seloka Rgveda dimaklumi juga serupa dengan puisi paling purba seperti Gatha dalam bahasa Avestan dan Iliad oleh Homer dari benua Yunani. Oleh sebab Rgveda dipindahkan secara lisan melalui kaedah hafalan yang rumit, cermat dan setia sebagai sastera yang satu tanpa sebarang kepelbagaian dalam bacaan maka ia mengekalkan sintaks purba dan morfologi dipandang penting pula dalam pembinaan semula nenek moyang bahasa Proto-Indo Eropah yang umum. Bahasa Sanskrit tidak mempunyai sistem tulisan yang asli namun sekitar awal abad masehi, ia mula ditulis dalam pelbagai jenis tulisan Brahmi. Pada era moden ini, ia biasanya ditulis menggunakan tulisan Devanagri.

Status, fungsi dan kedudukan bahasa Sanskrit dalam warisan kebudayaan India diiktiraf dengan perlindungan yang diberikan kepadanya oleh Perlembagaan India sebagai bahasa berjadual yang kelapan. Walau bagaimanapun, di sebalik usaha untuk menghidupkannya semula namun tiada sesiapa pun yang menuturkan bahasa ini sebagai bahasa pertama mereka di India. Dalam beberapa dasawarsa ini, muncul banci yang menunjukkan bahawa beberapa ribu warganegara India dilaporkan menuturkan bahasa Sanskrit sebagai bahasa pertama mereka, namun jumlah ini dianggap sebagai isyarat bahawa mereka cuma ingin dikaitkan dengan prestij bahasa tersebut sahaja.
 
Bahasa Sanskrit diajar di gurukula tradisional sejak zaman purba. Kini, ia diajar secara meluas di peringkat sekolah menengah di India. Kolej bahasa Sanskrit tertua sekali di dunia adalah Benares Sanskrit College yang ditubuhkan pada tahun 1791 semasa zaman pemerintahan Syarikat Hindia Timur Inggeris di benua kecil India. Bahasa Sanskrit terus digunakan secara meluas dalam upacara dan menjadi bahasa upcara dalam bacaan mantra penganut Hindu serta Buddha.