Aspek Garang Ganapati

Terdapat juga aspek garang Ganapati, tetapi ia jarang dipuja oleh orang. Dalam kebanyakan keadaan, ramai orang melihat kepada Ganapati sebagai dewata yang comel, gempal dan sering membantu orang ramai. Namun, dalam beberapa keadaan Ganapati juga dipuja dalam marga upasana tantra. Pemujaan dalam jalan tantra ini bersesuaian dengan zaman ini dan boleh digunakan juga untuk memuja sesiapa sahaja dalam kalangan dewata seperti Siva, Vishnu atau Ganapati. Terdapat pendekatan tantra untuk semua dewata. Tantra ini adalah kaedah pemujaan atau kaedah mendekatkan diri dengan dewata.

Jadi, Ganapati dipuja dengan kaedah tantra dan didekati melalui aspek Aghora-Ganapati. Pemujaan Aghora-Ganapati ini tidak sesuai dibuat di rumah dan tidak boleh dipuja oleh mereka yang berkeluarga. Ia hanya dipuja oleh golonga sannyasin yang telah keluar daripada kehidupan bermasyarakat. Pemujaan dengan kaedah tantra menggunakan acara yang dikenali sebagai vamachara atau sayap kiri. Di sinilah munculnya segala kontroversi.

Perbezaan cara pemujaan ini melibatkan isu-isu teknikal mengikut aspek dewata itu sendiri, contohnya Ganapati sebagai ishta devata memerlukan pendekatan tertentu atau Heramba-Ganapati pula melibatkan cara pemujaan yang berbeza. Heramba-Ganapati akan diseru oleh sesiapa yang ingin menumpaskan ilmu hitam yang dihantar kepadanya.