Agama Veda merujuk kepada kepercayaan agama yang dianuti oleh beberapa puak Indo-Arya, yang berhijrah masuk ke rantau Lembah Sungai Indus di benua kecil India selepas keruntuhan Tamadun Lembah Indus. Agama Veda yang kemudian diikuti oleh agama Brahmanisme, bertumpu kepada ceritera dan buah fikiran upacara yang terbit dari kitab suci Veda, berbeza pula dengan bentuk agama India lain seperti Agamic, Tantric dan aliran lain, yang dikesan timbul dari sumber kanun yang bukan Veda.
Agama Veda dijelaskan dalam kitab suci Veda dan dikaitkan dengan berjilid-jilid sastera Veda, termasuklah dalam Upanishad awal, dipelihara hingga ke zaman moden oleh pelbagai aliran kependitaan. Agama ini wujud di sebelah barat Lembah Sungai Ganges pada awal zaman Veda dari 1500 - 1100 SM, dan berkembang menjadi Brahmanisme pada zaman Veda lewat (1100 - 500 SM). Dalam pada itu, Lembah Sungai Ganges timur pula dikuasai oleh tapak bukan Indo-Arya lain, yang menolah buah fikiran Brahmana lalu menimbulkan agama Jainisme dan Buddhisme, serta empayar Maurya.
Akar Indo-Arya dan Persenyawaan
Penutur bahasa Indo-Arya dari rumpun keluarga bahasa Indo-Eropah ini berasal dari Kebudayaan Sintashta dan kemudian berkembang menjadi Kebudayaan Andronovo. Seterusnya, ia berubah menjadi Kebudayaan Kurgan di padang rumput di Asia Tengah. Zaman yang biasanya dicadangkan untuk zaman Veda awal ini adalah sekitar abad ke-2 SM.
Kepercayaan Veda dan amalan pada era pra-klasik dihipotesiskan berkait rapat dengan agama Proto Indo-Eropah, dan menunjukkan hubungan dengan upacara dari Kebudayaan Andronovo yang menurunkan bangsa Indo-Arya.
Menurut Anthony, agama Indic Lama berkemungkinan muncul dalam kalangan pendatang Indo-Eropah di zon perhubungan antara Sungai Zeravshan (kini di Uzbekistan) dan Iran (kini). Ia adalah "campuran persenyawaan antara elemen Asia Tengah lama dan Indo-Eropah baru yang meminjam "kepercayaan agama dan amalan tersendiri" dari Kebudayaan Bactria-Margiana (BMAC). Pengaruh persenyawaan ini disokong oleh sekurang-kurangnya 383 perkataan bukan Indo-Eropah yang dipinjam dari kebudayaan ini termasuklah dewa Indra dan upacara meminum Soma.
Menurut Anthony:
"Banyak daripada ciri dewa Indo-Iran untuk kejayaan atau kekuatan, Verethraghna, dipakaikan kepada dewa Indra, yang menjadi dewa utama dalam kebudayaan India Lama. Dewa Indra menjadi bahan dalam 250 gita pujaan, iaitu seperempat Rigveda. Dewa Indra dikaitkan dengan Soma lebih daripada dewata lain, sejenis herba perangsang (kemungkinannya daripada tumbuhan Ephedra) agaknya dipinjam daripada agama BMAC. Kemunculan Indra hingga membawa kepada terkenalnya baginda ini menjadi ciri yang pelik bagi penutur bahasa India Lama."
Prasasti tertua dalam bahasa India Lama, bahasa Rig Veda, ditemui di Syria utara, terletak dalam Kerajaan Mittani. Raja-raja Mittani memakai nama gelaran takhta India Lama, dan istilah India Lama digunakan untuk tunggangan kuda serta pedati. Istilah India Lama seperti artha, "susunan cakrawala dan kebenaran", konsep utama dalam Rigveda, turut diterima pakai di Kerajaan Mittani. Dewa India Lama, termasuklah dewa Indra, juga dikenali dalam Kerajaan Mittani.
Pengaruh Asia Selatan
Agama Veda merupakan hasil daripada "perpaduan antara kebudayaan Indo-Arya dan ketamadunan Harappa". White (2003) memetik tiga sarjana lain yang "dengan penuh empatinya menunjukkan" bahawa agama Veda ini sebahagiannya diterbitkan daripada Tamadun Lembah Indus.
Tidak jelas jika teori dalam pelbagai sastera Veda ini sebenarnya mencerminkan amalan rakyat, perlambangan, dan aspek amali lain dalam agama Veda. Agama Veda berubah apabila orang Indo- Arya berhijrah masuk ke Lembangan Ganges selepas 1100 SM dan menjadi petani yang menetap di situ, seterusnya menyebabkan budaya mereka bersenyawa dengan kebudayaan asal di India Utara. Bukti mencadangkan bahawa agama Veda ini berkembang dalam "dua arah yang secara permukaannya nampak bertentangan", yang mana "sistem upacara yang panjang, mahal, dan khusus", yang kini wujud lagi dalam upacara srauta pada zaman moden dengan "pemisahan dan penghayatan prinsip yang melatari upacara serta spekulasi jagat raya" dalam diri sendiri, sama seperti tradisi Jain dan Buddha.
Aspek dalam agama Veda yang bersejarah ini masih berterusan pada zaman moden. Contohnya, Brahmin Nambudiri masih lagi meneruskan upacara Srauta, dan amalan Srauta dari Veda yang rumit masih lagi diamalkan di Kerala serta pantai Andhra. Orang Kalash yang tinggal di barat laut Pakistan masih lagi meneruskan satu bentuk agama Veda purba. Selain itu, Michael Witzel juga mencadangkan bahawa agama Shinto, iaitu agama asal Jepun, turut mengandungi pengaruh daripada agama Veda yang purba ini.