Amalan Mantra

Mantra ini adalah sejenis bacaan yang dibacakan oleh pengamalnya untuk berhubung dengan dewata. Ranveer bertanya juga, apakah logiknya amalan mantra ini?

Lalu dijawab, di sini kita perlu merujuk kembali kepada buah fikiran para rishi yang mana mereka melihat mantra-mantra tersebut. Mantra ini semuanya mempunyai makna. Terdapat juga mantra yang disebut sebagai bija mantra, yang bertindak sebagai biji benih tenaga dewata. Biji benih ini ditanam dalam pemikiran kita. Ia diikuti dengan amalan pula contohnya, kita menyiram biji benih tersebut dengan air. Apabila ia telah bertunas, maka kita akan mendedahkannya kepada cahaya matahari. Lalu, tunas tadi pun akan bertumbuh menjadi sebatang pokok. Jadi, itulah perumpamaan bagi kemampuan bija mantra.

Sesetengah mantra ini mempunyai tenaga aksara jika ia bukan berbentuk perkataan. Dengan membacanya, kita mencetuskan tenaga. Tenaga itu mempunyai gema yang sama dengan dewa yang khusus. Maka, makluman mengenai mantra ini semuanya datang dari para rishi. Hal ini kerana orang awam tidak boleh menghasilkan bija mantra.

Bagi membangkitkan tenaga bija mantra itu, terdapat beberapa peraturan yang perlu diikuti. Contohnya, bija mantra bagi Mahakali adalah "krim". Jadi semasa seseorang itu membacanya, maka dia tidak boleh membaca dengan suara yang kuat. Orang yang berada berhampiran dengan orang yang membaca mantra itu tidak boleh mendengar pun bunyi bija mantra ini kerana sebaik sahaja dia mendengarnya maka tenaga Mahakali akan lesap. Bija mantra ini tidak boleh dibaca oleh orang yang tidak menjalani diksha juga. Guru diperlukan bagi memberi panduan bagaimana seseorang itu berhadapan dengan keadaan yang mana dewata yang menjadi penunggu mantra itu memberikan pengalaman tertentu kepadanya. Sebarang pengalaman yang tidak dapat dihadam oleh seseorang itu boleh dianggap sebagai pengalaman yang buruk atau trauma. Oleh itu, guru sangat penting sebagai pemandu bagi seseorang itu beramal. 

Sesetengah mantra itu boleh mencetuskan mimpi, sesetengah mencetuskan pengalaman yang tertentu atau pun mencetuskan situasi yang membangkitkan jiwa gelap dalam diri kita yang mana kita perlu tahu pula cara untuk mengatasinya dan menjalinkannya dalam amalan kita yang selanjutnya. Kita perlu juga melihat sama ada terdapat amalan tambahan lain yang diperlukan bagi meningkatkan keberkesanan mantra. Di samping ishta devata atau dewa peribadi kita, terdapat juga sekelompok dewata yang perlu disenangkan supaya mereka membantu kita. Sama seperti kebudayaan India yang awam, seseorang itu tidak boleh memulakan pemujaan tanpa menyeru Ganapati untuk membersihkan halangan di tengah jalan pemujaan kita. Ganapati pun akan menjadi vighnakarta, pemecah halangan lalu menjadi pula ishvara iaitu Tuan kepada segalanya. Dewata itu akan mengubah tenaganya mengikut keperluan pemujanya yang ikhlas berbakti.