Bukti teks terawal mengenai istilah "Mahayana" ini datangnya dari sutra atau ajaran atau risalah yang berasal dari sekitar abad awal masihi. Jan Nattier juga memaklumi bahawa sesetengah teks Mahayana terawal, seperti Ugraparipṛccha Sūtra menggunakan istilah "Mahayana", namun tiada sebatang perbezaan antara Mahayana dalam konteks ini dengan aliran-aliran awal. Sebaliknya, Nattier menulis bahawa dalam sumber terawal, "Mahayana" merujuk kepada tauladan ketat jalan baginda Gautama Buddha ke arah pencerahan.
Sesetengah bukti penting untuk ajaran Buddha Mahayana datang dari teks yang diterjemahkan oleh Lokaksema, seorang bhiksu berbangsa Indo Saka yang masuk ke benua China dari kerajaan Gandhāra pada abad ke-2 masihi. Maka, ini adalah sebahagian daripada teks Mahayana terawal yang diketahui. Pengajian teks ini oleh Paul Harrison dan lain-lain cendekiawan menunjukkan bahawa penganut Mahayana ini sangat berpegang teguh kepada kezuhudan (berlawanan dengan teori asal-usul dari upasaka), mengiktiraf kesahihan arahant dan tidak pernah menunjukkan sebarang percubaan untuk mengasaskan sebarang aliran atau susunan baru. Beberapa bahagian daripada teks itu menekankan amalan zuhud, tinggal dalam hutan dan tahap samadhi yang mendalam.
Penganut Mahayana dari benua India tidak pernah cuba untuk memisahkan diri daripada vinaya atau susunan pentahbisan bhiksu daripada aliran Buddha awal. Oleh itu, bhiksu dan bhiksuni yang mengikut tradisi Mahayana secara rasminya memang penganut dalam aliran Buddha awal. Keahlian dalam nikāya atau susunan kebiaraan ini berterusan hingga kini dengan nikāya Dharmaguptaka digunakan di benua China atau Jepun manakala nikāya Mūlasarvāstivāda digunakan di Tibet. Oleh itu, Mahayana sebenarnya tidak pernah cuba memisahkan kebiaraannya daripada aliran Buddha awal pun.
![]() |
| Lukisan dari Gua Mogao (Gua 217) di Dunhuang yang menggambarkan Sukhavati iaitu padang Buddha Amitabha |
Paul Harrison menjelaskan bahawa sementara penganut Mahayana berasal dari salah satu nikaya namun tidak semua ahli dalam nikaya itu adalah penganut Mahayana. Kita mengetahui daripada bhiksu Buddha dari benua China yang menziarahi benua India bahawa kedua-dua bhiksu Mahayana dan bukan Mahayana di India selalunya tinggal di biara yang sama, sebelah menyebelah. Boleh jadi juga, Mahayana ini difahami sebagai sekumpulan bhiksu atau bhiksuni dalam biara yang besar yang mengangkat sumpah atau kriyākarma untuk menghafal dan mengaji teks Mahayana atau teks Buddha yang tertentu.

Patung tiga bodhisattva ditemui di Jamal Garhi
di Khyber Pakhtunkhawa, Pakistan
Batu bersurat terawal yang mengandungi bacaan yang diiktiraf sebagai sastera Mahayana dan sebutan Buddha Amitabha yang merupakan tokoh penting bagi penganut Mahayana juga ditemui di benua kecil India yang kini berada di Mathura, Uttar Pradesh, Republik India. Ia bertarikh sekitar 180 masihi. Tinggalan patung Buddha yang mempunyai pahatan aksara Brahmi menyebut, "Diperbuat dalam tahun 28 pemerintahan Raja Huvishka ... untuk Yang Maha Kurnia, Buddha Amitabha." Begitu juga dengan beberapa bukti bahawa Huvishka, Maharaja Kushan sendiri adalah seorang penganut Mahayana. Satu perca manuskrip berbahasa Sanskrit dalam Simpanan Schoyen menjelaskan bahawa Huvishka sebagai "menempuhi perjalanan dalam Mahayana". Bukti mengenai nama "Mahayana" dalam batu bersurat India purba sekitar abad sebelum abad ke-5 masihi ini sangat terhad jika dibandingkan dengan banyaknya penulisan Mahayana yang tersebar dari Asia Tengah ke China pada ketika itu.
Berdasarkan kepada bukti arkeologi, Gregory Schopen membahaskan bahawa Mahayana benua kecil India ini kekal sebagai "pergerakan yang sangat terhad. Jika ia ada pun ia tidak menarik perhatian ramai sehingga menyebabkan tiada bukti sokongan awam atau popular sekurang-kurangnya dalam dua abad seterusnya. Begitu juga, Joseph Walser bercakap mengenai ketiadaan rekod arkeologi Mahayana hingga abad kelima masihi. Schopen juga melihat bahawa pergerakan ini sering tegang dengan penganut Buddha lain, "bergelut untuk mendapatkan pengiktirafan dan penerimaan". Pergelutan mental dalam kalangan mereka ini mungkin membawa kepada beberapa elemen yang kita dapat lihat dalam sastera Mahayana seperti Sutra Teratai, seperti kebimbangan dalam pemeliharaan teks.
Schopen, Harrison dan Nattier juga membahaskan bahawa komuniti ini kemungkinannya bukan satu pergerakan yang bersatu namun merupakan kumpulan yang sama tetapi sebenarnya merupakan kumpulan yang terpecah-pecah dengan pelbagai amalan dan sutra ikutan yang berbeza. Salah satu sebab yang menimbulkan pandangan ini adalah kerana sumber Mahayana yang pelbagai, menyokong pelbagai doktrin yang selalunya saling bercanggah dan kedudukan seperti yang ditulis oleh Nattier:
"Maka kita dapati satu kitab suci (Aksobhyavyuha) yang menggalakkan amalan sravaka dan bodhisattva, mengemukakan kemungkinan penjelmaan semula di tanah suci, serta dengan penuh semangat mengesyorkan pemujaan terhadap kitab, namun seolah-olah tidak mengetahui apa-apa teori kekosongan, sepuluh bhumi atau trikaya. Sementara itu, sebuah lagi kitab (P'usa pen-yeh ching) mengemukakan sepuluh bhumi dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada jalan bodhisattva, tetapi tidak pernah membincangkan paramita. Sebuah risalah Madhyamika (Mulamadhyamikakarikas karya Nagarjuna) mungkin dengan penuh semangat menggunakan retorik kekosongan tanpa pernah menyebut jalan bodhisattva, manakala sebuah risalah Yogacara (Madhyantavibhagabhasya karya Vasubandhu) mungkin meneliti secara terperinci doktrin trikaya sambil menolak doktrin ekayana. Dengan kata lain, kita mesti bersedia untuk menemui kepelbagaian Mahayana yang berkembang subur walaupun di benua kecil India, apatah lagi yang berkembang di China, Jepun dan Tibet."
Walaupun merupakan golongan minoriti di benua kecil India, Mahayana menjadi sebuah gerakan yang subur dari segi keilmuan yang telah mengembangkan pelbagai aliran pemikiran sepanjang apa yang disebut oleh Jan Westerhoff sebagai "Zaman Keemasan Falsafah Buddha India" (dawi awal abad pertama masihi hingga abad ke-7 masihi). Beberapa tradisi utama Mahayana ialah Prajñāpāramitā, Mādhyamaka, Yogācāra, Tathāgatagarbha (ciri Buddha) serta aliran Dignaga dan Dharmakirti sebagai yang terakhir dan paling baru. Tokoh-tokoh awal yang penting termasuk Nagarjuna, Āryadeva, Aśvaghoṣa, Asanga, Vasubandhu, dan Dignaga. Penganut Mahayana nampaknya aktif dalam Empayar Kushan (30 - 375 masihi), iaitu zaman yang menyaksikan penyebaran dan kesusasteraan secara besar-besaran agama Buddha oleh penganut Buddha. Hal ini juga turut disokong oleh karya ahli sejarah, Taranatha.


