Aksara moden bahasa Bengali telah melalui proses evolusi yang panjang. Sebilangan besar rekod epigrafik purba dan manuskrip telah ditemui dari pelbagai bahagian di rantau Bengal. Ia telah memberikan maklumat penting untuk membina semula asal-usul sejarah dan perkembangan aksara Bengali moden. Namun sebelum kita meneliti asal-usul sejarahnya dengan lebih terperinci, orang ramai perlu diberikan gambaran ringkas tentang aksara Brahmi India purba, iaitu aksara induk kepada aksara Bengali moden.
Berdasarkan arah penulisan, aksara purba India terbahagi terutamanya kepada dua bahagian iaitu aksara Brahmi dan aksara Kharoshti. Aksara Kharoshthi ditulis dari kanak ke kiri seperti abjad Arab. Manakala aksara Brahmi pula ditulis dari kiri ke kanan seperti abjad Latin. Orang India purba mengubah suai aksara Kharoshthi daripada abjad Aramia di Asia Barat. Namun, aksara ini hanya terhad di sempadan Barat Laut India. Ia tersebar ke bahagian lain India semasa zaman Kushan. Beberapa keping duit syiling Kushan yang ditemui di wilayah Bengal mengandungi aksara Kharoshthi. Selain itu, beberapa cap tanah liat dan serpihan tembikar te;ah ditemui di Chandraketugarh dan Bedachapa di wilayah Bengal Barat yang mengandungi aksara Kharoshthi.
Orang India purba mengambil abjad Kharoshthi daripada tulisan Aramaik. Namun tulisan ini terhad terutamanya di sempadan Barat Laut India. Ia tersebar ke bahagian lain India semasa zaman Kusana. Beberapa syiling Kusana yang ditemui di Bengal mengandungi tulisan Kharoshthi. Selain itu, beberapa cop tanah liat dan serpihan tembikar telah ditemui di Chandraketugarh dan Bedachapa di Bengal Barat, yang juga mengandungi abjad Kharoshthi. Namun abjad Kharoshthi tidak memberikan sebarang sumbangan kepada perkembangan abjad Bangla.
Abjad moden Bengali berasal daripada aksara Brahmi di India purba. Aksara Brahmi merupakan aksara tertua dan paling popular di benua kecil India. Penemuan tulisan Lembah Indus telah mendorong sesetengah sarjana untuk berpendapat bahawa aksara Brahmi berkembang secara tempatan daripada sistem tulisan Lembah Indus. Namun tiada sesiapa yang dapat menunjukkan bagaimana evolusi ini berlaku. Ada sarjana yang berpendapat bahawa ia dipinjam dari luar benua kecil India tetapi tiada bukti kukuh tentang andaian ini. Sebenarnya, ia merupakan sumbangan besar masyarakat India purba yang mencipta tulisan Brahmi dan angka mereka sendiri. Orang India purba percaya bahawa aksara Brahmi berasal daripada Brahma, Sang Pencipta maka ia pun dinamakan sebagai Brahmi. Sebaliknya, ada yang berpendapat bahawa kerana aksara Brahmi ini digunakan oleh golongan Brahmana, maka ia dinamakan sebagai Brahmi. Rekod aksara Brahmi paling purba ditemui pada sebuah pasu di Piprahwa (487 SM), Tarai di Nepal. Namun aksara Brahmi banyak diukir pada tiang batu dan kepingan batu oleh Raja Maurya yang agung, Ashoka. Bentuk lengkap aksara Brahmi dapat dilihat pada prasasti batu Ashoka. Dalam hal ini, dapat dibayangkan bahawa aksara Brahmi mengalami proses evolusi yang panjang sebelum mencapai bentuknya pada zaman Ashoka. Menariknya, lama-kelamaan orang India telah lupa cara membaca dan menulis aksara Brahmi. Dikatakan bahawa Sultan Delhi, Firuzshah Tughlaq, pernah mengumpulkan prasasti di tiang Ashoka dan meminta para sarjana di sekelilingnya untuk membacanya, namun tiada seorang pun yang mampu membacanya. Pada tahun 1837, James Prinsep, seorang sarjana British, berjaya membaca aksara Brahmi Ashoka dengan tepat. Ia membuka jalan untuk menyahkod aksara Brahmi proto-serantau India purba yang lain. Beberapa rekod epigrafik Bengal telah disahkodkan pada separuh akhir abad ke-19.
Namun sebilangan besar prasasti awal Bengal disahkod dan diterbitkan dalam separuh pertama abad ke-20. Dengan pemerhatian teliti terhadap bentuk dan variasi abjad dalam rekod epigrafik Bengal yang banyak itu, adalah mungkin untuk menjejaki perkembangan sejarah aksara Bengali. Aksara Bengali serta aksara India moden lain seperti Nagari, Sarada, Tamil, Telugu, Kannadiga, Gujarati, Grantha, Gurumukhi, Malayalam, Tibet dan lain-lain ialah bentuk semasa hasil perkembangan tempatan daripada aksara Brahmi. Seiring masa, gaya penulisan aksara Brahmi telah berubah. Bentuk perubahan aksara ini tidak sama di semua tempat. Akibatnya, aksara Brahmi mengambil rupa yang berbeza di pelbagai wilayah India. Lama-kelamaan, rupanya berubah menjadi rupa aksara Brahmi yang moden dan membentuk aksara Bengali moden. Kini satu usaha boleh dibuat untuk menumpukan asal-usul dan perkembangan aksara Bengali melalui kajian paleografi sistematik terhadap rekod epigrafik awal Bengal. Aksara moden Bengali berasal daripada cawangan Utara bagi aksara Brahmi. Namun lama kelamaan cawangan Utara aksara Brahmi telah bercabang menjadi dua aliran berasingan iaitu aliran Timur dan aliran Barat.

Prasasti Brahmi Mahasthana dianggap sebagai objek tulisan paling purba di Bengal. Namun bentuk tulisan Brahmi yang lebih maju muncul dalam prasasti ini berbanding dengan prasasti Ashoka. Kini ia dianggap oleh ahli paleografi sebagai aksara Brahmi Maurya lewat. Satu lagi prasasti pada imej batu yang ditemui di Shilua, daerah Noakhali, juga mengandungi aksara Brahmi. Namun prasasti pada imej itu telah rosak teruk dan hampir tiada ruang untuk mengenal pasti bentuk abjadnya. Selain itu, terdapat beberapa lempengan tanah liat di Mahasthana dan Palashhbari di daerah Bogra, beberapa cap dan serpihan tembikar dari Chandraketugarh serta Bedachapa di Bengal Barat yang juga mengandungi aksara Brahmi purba. Namun objek-objek ini jelas menunjukkan bahawa bentuk aksara Brahmi yang lebih maju, yang mungkin diukir sekitar abad ke-2 dan ke-3 SM.
Aksara Sunga dan aksara Kshatrapa Utara menunjukkan perkembangan lanjut aksara Brahmi di India Utara pada abad pertama sebelum masihi. Tahap seterusnya dalam perkembangannya ditunjukkan dalam prasasti Kushan. Pada tahap ini, kebanyakan prasasti Brahmi kekal tidak berubah tetapi sebilangan kecil aksara mengambil bentuk kursif menggantikan bentuk bersudut Ashoka. Perubahan ketara berlaku pada cara menulis vokal tengah ‘a’ (অ), yang mengambil bentuk condong menggantikan bentuk mendatar Ashoka.
Zaman Gupta merupakan titik permulaan utama evolusi aksara Bengali. Dinasti Gupta yang berkuasa di Magadha secara beransur-ansur menakluki seluruh India Timur Laut dan mewujudkan integriti politik serta kestabilan kira-kira dua abad selepas kejatuhan Empayar Kushan. Semasa pemerintahan mereka, bahasa Sanskrit menggantikan bahasa Prakrit sebagai bahasa rasmi. Bahasa dan kesusasteraan Sanskrit berkembang pesat semasa pemerintahan Gupta di Bengal. Pada masa yang sama, bentuk gaya penulisan dan bahan tulisan turut berkembang. Daun pelepah atau kepingan kulit kayu digunakan secara meluas untuk menulis karya sastera, tetapi ia adalah bahan tulisan yang mudah rosak. Oleh itu, piagam diraja atau pemberian tanah diukir pada kepingan tembaga yang tahan lama untuk memastikan ia kekal.
Perubahan bahan tulisan ini menyebabkan timbulnya perbezaan gaya dalam penulisan Brahmi. Lapan keping penuh piagam tembaga Gupta ditemui di Bengal Utara dan satu lagi keping ditemui di daerah Comilla, Bengal. Penemuan ini membantu menentukan spesimen jenis aksara Timur pada tempoh tertentu. Akibatnya, adalah mungkin untuk menjejaki perkembangan aksara Bengali daripada rekod ini sahaja. Bentuk kursif digunakan secara meluas dalam penulisan abjad semasa pemerintahan Gupta di Bengal. Dalam gaya Batu Shushunia, garis bersudut digunakan dengan tegas tetapi dalam piagam tembaga Gupta di Bengal, kecenderungan penggunaan sudut melengkung semakin menonjol. Menariknya, huruf ‘i’ (ই) bertitik tiga berubah bentuk dalam piagam tembaga Gupta. Dalam bentuk baru, dua titik diletakkan di sebelah kiri garis menegak. Dasar vokal tengah ‘u’ melengkung ke bawah, yang menjadi asal huruf Bangla moden ‘u’ (উ). Pada masa yang sama, kita dapat lihat bahawa sistem vokal tengah condong Kushan berubah menjadi bentuk kursif bagi vokal a, i, e.

Sebahagian besar konsonan berubah dengan ketara semasa pemerintahan Gupta. Aksara ‘ka’ mempunyai palang tengah melengkung menggantikan bentuk lengan seimbang, manakala ‘gha’ mengekalkan dasar lurus. Bahagian kiri huruf ‘kha’, ‘ga’ dan ‘sa’ (স) lebih panjang daripada bahagian kanan. Aksara ‘ca’ berubah dengan paruh bulat menggantikan gelung segi tiga atau separa segi tiga. Huruf ‘ja’ mempunyai lengan bawah yang sedikit bengkok di hujungnya tetapi jelas menunjukkan tahap awal aksara Bengali ‘ja’. Aksara ‘jna’ sudah berkembang dalam bentuk kursif. Aksara ‘ta’ meratakan bahagian atasnya, manakala ‘da’ mempunyai bahagian belakang yang sedikit bulat. Aksara ‘na’ berbentuk mulut terbuka dengan gelung di sebelah kiri menggantikan bentuk mendatar Brahmi, manakala aksara ‘tha’ berbentuk bujur dengan garis tengah menggantikan sistem titik Brahmi. Aksara ‘pa’ dan ‘pha’ mempunyai sudut kiri bulat, manakala ‘va’ kadangkala mempunyai lengan kiri yang sedikit bengkok. Aksara ‘ma’ mempunyai dua variasi: pertama dengan ekor yang berpusing ke dasar condong ke menegak kanan, manakala kedua berbentuk terhad dengan dasar melengkung ke atas menggantikan menegak kanan. Aksara ‘ya’ masih kelihatan dalam bentuk tripartit Brahmi tetapi muncul gelung pada lengan kiri. Aksara dental ‘sa’ ditemui dengan gelung di sebelah kiri. Aksara ‘la’ dan ‘ha’ berubah menjadi bentuk berkait dan ditulis dengan sangat kursif, khususnya dalam piagam tembaga Baigram milik Budhagupta. Perubahan aksara-aksara ini semasa zaman Gupta boleh dianggap sebagai permulaan tulisan Bengali.
Aksara ‘kha’ berubah menjadi bentuk bertutup rata di bahagian atas dan bahagian bawahnya mengambil bentuk segi tiga, yang jelas menunjukkan tahap awal aksara Bangla ‘kha’. Aksara ‘na’ (ণ) menggugurkan gelung di sebelah kiri bentuk mulut terbuka. Aksara ‘tha’ mengekalkan bentuk bujur dalam piagam tembaga Dharmaditya, tetapi bentuk mengembung ditemui dalam piagam Samacharadeva. Namun perubahan besar berlaku pada huruf ‘ya’ (য). Bentuk tripartit ‘ya’ zaman Gupta telah berubah menjadi bentuk bipartit dalam piagam tembaga Samacharadeva. Aksara ‘ya’ ini jelas menunjukkan perkembangan aksara Bengali ‘ya’ (য). Sebaliknya, bentuk berkait aksara ‘la’ dan ‘ha’ semakin berkembang pada zaman pasca-Gupta, yang akhirnya berubah menjadi bentuk Bengali.
Rekod epigrafik abad ke-7 menandakan satu lagi tahap penting dalam perkembangan abjad Bangla. Banyak ciri baharu muncul dalam penulisan aksara pada masa ini. Tulisan ketika itu dikenali sebagai bentuk Kutila (jenis melengkung), yang berasal dari lembah Ganges tengah. Ciri utama aksara pada zaman ini ialah lengan melengkung, segi tiga padat, sudut tajam, tanda kepala dan bentuk berekor. Bentuk Kutila mula muncul dalam piagam tembaga Nidhanpur milik Vaskaravarman, piagam tembaga Tippera milik Lokanatha, piagam tembaga Kalapur milik Marundanatha, dan piagam tembaga Kailan milik Sridharana Rata. Kemudian, bentuk Kutila yang lebih maju diperhatikan dalam piagam tembaga Devakhadga dan Balabhatta.

Namun tulisan ‘Proto-Nagari’ tidak bertahan lama di Bengal. Dengan pengaruh gaya tempatan ‘Kutila’, ia secara beransur-ansur berubah kepada ciri baharu yang ditakrifkan oleh R.D. Banerji sebagai ‘Proto-Bangla’, manakala P.L. Paul mentafsirkannya sebagai “pendahulu segera kepada aksara Bengali moden”. Aksara Proto-Bengali digunakan secara meluas dalam prasasti piagam tembaga Bengal zaman pertengahan awal, khususnya pada separuh kedua abad ke-9 dan sepanjang abad ke-10 Masihi. Jenis aksara ini mula muncul dalam prasasti Bangard milik Mahipala I, prasasti tiang Badal milik Narayanapala dan piagam tembaga Amgachi milik Vigrahapala. Aksara Proto-Bangla diukir dengan terperinci dalam piagam tembaga Chandra, Sena, Varman dan Deva kemudian. Pada zaman ini, banyak aksara mengambil bentuk Bengali sepenuhnya manakala yang lain hampir menyerupai akasara Bengali moden. Vokal tengah berkembang dengan lengkung hiasan yang serupa dengan aksara Bengali moden. Namun perlu diperhatikan bahawa aksara ‘cha’ berubah secara dramatik apabila gelung kirinya diletakkan di sebelah kanan seperti aksara Bengali moden ‘cha’. Banyak aksara gabungan juga berkembang pada tahap ini menyerupai bentuk Bengali moden.
Tulisan Proto-Bengali berubah menjadi bentuk Bengali sepenuhnya pada abad ke-11 dan ke-12 Masihi. Aksara Bengali buat pertama kali diperhatikan secara meluas dalam piagam tembaga Anulia milik Laksmanasena dan piagam tembaga Sahitya Parisad milik Visvarupasena. Piagam tembaga Sundarban milik Dommonpala (1196 Masihi) diukir sepenuhnya dalam bentuk Bengali. Penaklukan umat Islam ke atas Bengal sekitar 1204 Masihi menghentikan perkembangan aksara Bengali buat sementara waktu. Sejak itu, tiada piagam tembaga dikeluarkan di Bengal. Oleh itu, perkembangan lanjut aksara Bengali dapat dikesan melalui manuskrip. Laghukalacakratika dan Kalacakravatara, dua manuskrip abad ke-13 dalam koleksi Royal Asiatic Society of Bengal jelas ditulis dengan tulisan Bengali. Manuskrip Pancaraksa (sekitar 1289 Masihi) dalam koleksi perpustakaan Universiti Cambridge juga menunjukkan bentuk lengkap aksara Bengali. Bentuk lebih maju aksara Bengali diperhatikan dalam manuskrip Guhyavalivivrti dan Vajranesadhanangani.
Bahasa dan kesusasteraan Bengali dihidupkan semula dengan kebangkitan sultan-sultan bebas Bengal (1335–1535 Masihi). Pada tahap ini, di bawah pengaruh Vaisnavisme Shrichaitanyadeva, enam Goswami, 64 Mohanta dan ramai penganut aliran Vaisnava lain menulis sejumlah besar buku yang menggunakan bentuk lengkap aksara Bengali. Bentuk lebih maju tulisan Bengali diperhatikan dalam karya Krisna Kirttan oleh Chandidas. Dua prasasti ditemui di Kuil Ganesha di Begunia, daerah Burdwan (separuh kedua abad ke-15 Masihi) yang menunjukkan tulisan Bengali yang lebih maju. Tiada perubahan besar muncul dalam manuskrip abad ke-16 hingga ke-18. Pada tahun 1778, aksara Bengali menjadi seragam dengan pengenalan mesin cetak. Charles Wilkins menubuhkan percetakan Bengali pertama di Hughli dengan aksara yang dimodelkan daripada tulisan tangan manuskrip Bengali lama. A Grammar of the Bengali Language oleh Nathaniel Brassey Halhed menjadi buku cetakan bahasa Bengali pertama di dunia. Pengenalan percetakan ini menamatkan variasi tulisan Bengali dan ia mengambil bentuknya yang digunakan kini. Teknologi moden telah menyediakan pelbagai bentuk untuk tulisan Bengali tetapi bentuk asasnya tetap kekal dan tidak berubah.
Aksara Bengali terdiri daripada vokal dan konsonan. Terdapat sebelas vokal dan 39 konsonan dalam tulisan Bengali. Vokal boleh disebut secara bebas tetapi konsonan memerlukan sokongan vokal untuk disebut. Tidak seperti bahasa Inggeris, vokal Bangla tidak selalu ditulis penuh, sebaliknya digantikan dengan tanda. Vokal ‘a’ (অ) dianggap sebagai sebahagian daripada setiap konsonan dan tidak mempunyai tanda khusus. Namun, vokal lain biasanya muncul dalam bentuk penuh pada permulaan kata tetapi selepas itu diwakili oleh tanda. Dikatakan bahawa orang India meniru sistem ini daripada bentuk tulisan bangsa Samiah dan Aramia.

Kini satu usaha boleh dibuat untuk membincangkan asal-usul dan perkembangan angka Bengali. Orang Arab secara umum dikreditkan sebagai pencetus ilmu matematik atau pengetahuan aritmetik, dan angka dikenali dengan simbol yang disebut sebagai angka Arab. Namun idea bahawa angka berasal dari Arab bukanlah pandangan lama. Penulis pada Zaman Pertengahan dan Zaman Renaissance mengiktirafnya sebagai angka yang berasal dari India. Al-Khowarezmi, seorang tokoh berilmu besar yang banyak berjasa dalam pengetahuan Algebra dan Aritmetik, dengan jelas menyatakan bahawa angka tersebut berasal dari orang Hindu. Penulis Arab mendefinisikan angka sebagai ‘ilm-hindi’ atau Ilmu India. Sebenarnya, sembilan angka unit dan satu sifar, yang disusun dalam sistem perpuluhan, jelas berasal dari India, tetapi masih belum dapat dipastikan bagaimana dan bila ia bermula. Dikatakan bahawa angka lebih tua daripada penemuan tulisan. Masyarakat Rigveda sudah diperkenalkan dengan angka. Tujuh sungai (sapta-Sindhu), seribu manusia (sahasra-purusa), lapan puncak (astau-parvata), tiga syurga (trista-svarga) – kata-kata angka seperti ini disebut dalam Rigveda.
Penggunaan angka seterusnya ditemui dalam inskripsi Nana Ghat zaman Ashoka, yang dipercayai bertarikh awal abad ke-3 SM. Perkembangan lanjut angka dapat dilihat dalam inskripsi gua Nasik pada abad pertama Masihi. Angka Nagari berasal daripada inskripsi Gupta di India Utara. Namun di Bengal, angka mula muncul dalam piagam tembaga Gupta untuk menulis Gupta samvata (Era Gupta). Ciri baharu dalam penulisan angka muncul dalam inskripsi Pala. Piagam tembaga Pala hanya merujuk angka untuk melaporkan tahun pemerintahan raja. Namun tidak semua angka ditemui dalam rekod ini. Idea lanjut tentang angka diperoleh daripada piagam tembaga berikutnya, khususnya piagam Sena, Varman dan Deva kemudian, serta manuskrip zaman tersebut. Angka dalam piagam tembaga dan manuskrip zaman Sena kelihatan hampir sama dengan angka Bangla moden. Namun sukar untuk menjejaki perkembangannya dengan tepat pada tahap ini berdasarkan rujukan yang terhad dalam rekod sejarah kontemporari.
Daripada rujukan di atas, dapat disimpulkan bahawa tulisan Bangla ialah tahap akhir daripada perkembangan beransur-ansur abjad Brahmi di India Timur. Walaupun abjad Bangla berasal daripada tulisan Brahmi, kini tidak mungkin lagi menjejaki persamaan dengan tulisan Brahmi. Seiring masa, tulisan Brahmi mengambil bentuk berbeza dalam tangan penulis yang tidak terkira di wilayah Bengal dan akhirnya ia mengambil bentuk sekarang. Vokal tengah hiasan abjad Bangla adalah asal-usul tempatan sepenuhnya dari Bengal. Abjad Nepal dan Assam berasal daripada tulisan Bangla. Pada masa kini, abjad Bangla moden sangat popular dalam kalangan penutur Bangla di Bangladesh merdeka, Bengal Barat dan Tippera di India. Tulisan Bangla amat disayangi oleh penutur Bangla seperti bahasa ibu mereka.
Rujukannya boleh juga dibuat di halaman Banglapedia dalam rencana berjudul, "
Bangla Script". Sila klik pada tajuk berkenaan untuk mengakses maklumat dalam bahasa Inggeris.