Siam sebagai Lokasi Suvarnabhumi

Sempadan Kerajaan Suvarnabhumi mengikut Babad Siam
sebelum ia dihancurkan oleh Kerajaan Funan sekitar
abad ke-1 dan abad ke-2 masihi

Di Thailand moden, perisytiharan kerajaan dan muzium negaranya menekankan bahawa Suwannaphum atau Suvarnabhumi terletak di sekitar pantai di lembangan tengah Thailand terutamanya sekali kota purba yang dikenali sebagai U Thong, dipercayai mempunyai asal usul dari Budaya Mon Dvaravati.

Dakwaan ini tidak didasarkan kepada sebarang rekod sejarah namun didasarkan kepada bukti arkeologi penempatan manusia yang boleh dikesan hingga lebih daripada 4,000 tahun lalu serta penemuan matawang Romawi abad ke-3 masihi. Kerajaan Thailand menamakan lapangan terbang baru di Bangkok sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, sempena kerajaan purba dengan nama yang sama, bagi memberi penghormatan kepadanya walaupun ia masih lagi diperdebatkan oleh sarjana atas sebab yang sama seperti dakwaan yang dibuat oleh Burma.

Suphanburi atau Suvarnapuri dari bahasa Sanskrit yang bermaksud Kota Keemasan, terletak di tengah ke barat Thailand diasaskan pada tahun 877 hingga tahun 882 masihi sebagai sebuah salah satu kota dalam kerajaan Dvaravati yang berbahasa Mon purba, dengan nama Meuang Thawarawadi Si Suphannaphumi atau Kota Dvaravati Sri Suvarnabhumi, yang menunjukkan bahawa pada ketika itu pun Dvaravati dikenali sebagai Suvarnabhumi.

Menurut babad Siam, sekitar tahun 241 SM, ketika dua bhiksu Buddha bernama Sona Thera dan Uttara Thera datang dari kerajaan Magadha menyebarkan ajaran Buddha di Suvarnabhumi, kebanyakan penduduk dalam kerajaan itu adalah suku kaum Mon. Orang Tai-Kadai hanya tiba kemudian di situ kira-kira sekitar tahun 50 SM. Kerajaan Suvarnabhumi dihancurkan dalam penaklukan Funan sekitar abad ke-1 dan ke-2 masihi yang mana kebanyakan penduduknya dihalau masuk ke Funan menyebabkannya ditinggalkan kosong. Selepas Funan dikalahkan oleh Bhavavarman I dari kerajaan Chenla pada tahun 550 M, Suvarnabhumi secara de facto nya menjadi negara kota ufti kepada Chenla pula.

Kerajaan Dvaravati ini dilaporkan menjangkau Lamphakappa Nakhon yang terletak di Lampang di utara Thailand. Ia diperintah menerusi sistem mandala dengan lima kota diraja termasuklah Suvarnabhumi yang terletak di kota lama di wilayah Nakhon Pathom, Ratchaburi, Singburi, Phetchaburi dan Tanintharyi (Tanah Seri di Burma).

Kawasan di sekitar ibu kota lama Suvarnabhumi diisi kembali dengan penduduk pada tahun 590 M apabila Sri Sittichai Phromthep dari Yossothon (kemungkinan sebuah kota yang terletak di Chenla) mengasaskan kota baru, Nakhon Chai Si atau Negara Jaya Sri (nama lama Nakhon Pathom yang moden). Kebanyakan penduduk di situ adalah bangsa Siam yang dibawa dari Ngao, Yom, dan lembangan Sungai Salween di Burma. Kota Lavo kemudian diasaskan pada zaman itu juga. Kedua-duanya mencetuskan kerajaan baru yang digelar sebagai Dvaravati. Walau bagaimanapun, ibu kota baru bersama dengan penempatan terdekatnya iaitu Pong Tuek, yang kini berada di Ratchaburi telah dihentam oleh kerajaan Chenla 300 tahun selepas itu iaitu kira-kira pada abad ke-8 hingga ke-9 masihi.

Selepas serangan Chenla, pusat kebudayaan Dvaravati berpindah ke Lavo, dan penduduk dari kota yang diserang itu berpindah ke arah barat lalu membangunkan kota baru pada tahun 807 M di kawasan yang kini berada dalam mukim Ladya, wilayah Kanchanaburi manakala kawasan yang terjejas lain hampir semuanya ditinggalkan kosong. Penempatan baru itu dinamakan Suvarnabhumi dan kemudian dinamakan semula Sri Ayutthaya dan Kanchanaburi.

Pada kemuncak kekuasaannya sekitar abad ke-13 hingga abad ke-14 masihi, sempadan Suvarnabhumi baru atau Suphannaphum itu bertemu dengan kerajaan Lavo di Sungai Pasak di timur, mengunjur ke Dawei di barat di pantai ke lautan lepas iaitu Laut Andaman, ke barat laut di selatan Moulmein, yang menjadi pelabuhan perdagangan kerajaan Chaliang atau Sri Satchanalai. Sempadan selatannya mengunjur ke hujung Semenanjung Tanah Melayu, dan sempadan utaranya ke Phraek Siracha (kini dalam Sankhaburi). Pada tahun 1351, kerajaan Suphannaphum digabungkan dengan negara penggantinya iaitu Ayutthaya, selepas pemerintah terakhirnya, U Thong, berpindah ke arah timur lalu membangunkan ibu kota baru di Ayutthaya yang kini terletak di wilayah Ayutthaya, Thailand.